Berita Auto

Mazda CX-30 Boleh Mula Ditempah – Harga Dari RM144k

Bermaz Motor hari ini mengumumkan bahawa Mazda CX-30 kini dibuka untuk tempahan.

Mazda CX-30

Diperkenalkan buat pertama kali di Geneva Motor Show pada awal tahun ini, CX-30 membawa Mazda masuk ke segmen baharu dengan saiz yang diposisikan antara CX-3 dan CX-5.

SUV kompak ini mempunyai ukuran 4,395 mm panjang, 1,795 mm lebar dan 1,540 mm tinggi, dengan jarak roda berukuran 2,655 mm.

Bagi pasaran Malaysia, model ini ditawarkan dengan lapan pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Machine Gray, Titanium Flash, Jet Black, Deep Crystal Blue, Sonic Silver, Snowflake White Pearl dan Polymetal Gray Metallic.

Di dalam, CX-30 menampilkan rekaan kabin yang hampir sama dengan Mazda 3. Selain ciri Active Driving Display, ia turut didatangkan dengan skrin infotainmen 8.8 inci yang menyokong fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.

Dari segi ruang, model ini menawarkan ruang but berkapasiti 430 liter yang boleh diakses menerusi bukaan yang berukuran 1,020 mm lebar dan 731 mm tinggi.

CX-30 ditawarkan dalam tiga varian dengan dua pilihan enjin iaitu Skyactiv-G 2.0L dengan 163 hp/213 Nm dan Skyactiv-D 1.8L dengan 114 hp/270 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan roda hadapan (2WD).

Bagi aspek keselamatan, CX-30 dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS, Dynamic Stability Control (DSC), Electronic Brake-Force Distribution (EBD), Emergency Brake Assist (EBA), Traction Control System (TCS), Emergency Stop Signal (ESS) dan Hill Launch Assist (HLA).

Dua varian teratas mendapat teknologi keselamatan canggih tambahan iaitu Adaptive Front-Lighting System (AFS), High Beam Control (HBC), Blind Spot Monitoring (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Driver Attention Alert (DAA), Smart Brake Support (SBS) dan Mazda Radar Cruise Control (MRCC).

Diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun, CX-30 ditawarkan pada harga bermula RM143,119.20 bagi varian 2.0L 2WD, RM164,119.20 bagi 2.0L High 2WD dan RM173,027.70 bagi 1.8L Diesel High 2WD.

Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar dan penyelenggaraan percuma untuk lima tahun atau 100,000 km.

Previous post

Aston Martin DBX Dibuka Untuk Tempahan - Dari RM798k

Next post

Goodyear Di Tokyo Motor Show 2019

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *