Motosikal / Lain Lain Roda

Didi Resources Pengedar Baru Piaggio dan Vespa

Berikutan pengumuman oleh Naza Premira semalam, Kumpulan Piaggio dalam satu kenyataan rasmi hari ini mengumumkan pelantikan Didi Resources Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi Piaggio dan Vespa berkuatkuasa 1 Januari 2020.

Didi Resources bukanlah nama yang asing dalam pasaran motosikal tempatan. Ia mengendalikan dua lagi jenama motsosikal di bawah Kumpulan Piaggio iaitu Aprilia dan Moto Guzzi.

Syarikat itu juga merupakan pengedar rasmi bagi jenama Harley-Davidson, yang sebelum ini turut dikendalikan oleh Naza.

Gianluca Flume, Pengerusi dan Ketua Pengarah Piaggio Vietnam merangkap Naib Eksekutif Presiden Asia Pasifik 2 Wheeler berkata, “Pelantikan Didi Resources merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan Piaggio untuk mengumpul jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu entiti untuk memaksimumkan kecekapan pelbagai aspek perniagaan dan mengukuhkan komitmen kepada pelanggan di Malaysia.”

Rewi Hamid Bugo, Pengerusi Didi Resources Sdn. Bhd berkata bahawa pengambilalihan ini membolehkan syarikat itu menguruskan Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah konsep Motoplex yang ikonik.

Motoplex merupakan model runcit yang membolehkan pengedar untuk memanfaatkan potensi jenama dan produk di outlet yang sama. Setiap kedai Motoplex menyediakan tawaran penuh jenama Piaggio, Vespa, Aprilia dan Moto Guzzi di bawah satu bumbung, bersama dengan servis, aksesori dan barangan untuk pengalaman dunia dua roda yang unik.

Rancangan untuk pembinaan Motoplex telah berjalan dan dijangka dilancarkan pada awal tahun hadapan. Senarai penuh pengedar Vespa boleh didapati di pautan ini: https://www.vespa.com/my_EN/store-locator.html.

Previous post

Polis UK Uji Ford Ranger Raptor dan Focus ST Wagon

Next post

Khairul Nafsha Juarai UD Trucks Extra Mile Challenge Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *