Cerita Auto

BMW M2 CS Muncul Dengan 450 HP dan Transmisi Manual

Pada tahun 2015, model BMW M paling kecil iaitu M2 hadir sebagai pengganti 1M Coupe. Tiga tahun kemudian, versi yang lebih berkuasa iaitu M2 Competition pula diperkenalkan. Kini, BMW membuatkan peminat mereka lebih teruja dengan M2 CS.

BMW M2 CS

Apa yang membezakan M2 CS dengan M2 Competition adalah penambahbaikan pada bahagian luaran seperti bonet CFRP dan bumbung gentian karbon. Menurut BMW, bonet tersebut separuh lebih ringan berbanding bonet M2 Competition.

Selain itu, terdapat juga splitter hadapan baharu, Gurney spoiler lip pada but serta diffuser belakang. Semua komponen ini diperbuat daripada gentian karbon untuk mengurangkan berat selain meningkatkan ‘downforce’.

M2 CS memakai rim Y-spoke berukuran 19 inci yang boleh didapati dalam kemasan hitam berkilat atau emas matte. Rim ini dipadankan dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2.

Masuk ke bahagian dalam, anda akan menjumpai konsol tengah gentian karbon, stereng M Sport serta tempat duduk M Sport yang diambil daripada M4 CS.

Kuasa dibekalkan oleh enjin S55 3.0-liter enam silinder turbo berkembar yang disambungkan dengan sistem ekzos ‘dual branch’ baharu yang didatangkan dengan penutup (flap) yang dikawal secara elektrik.

Jika dibandingkan dengan M2 Competition yang menggunakan enjin yang sama, M2 CS mempunyai 40 lebih kuasa kuda iaitu 450 hp manakala tork kekal pada 550 Nm.

Melihat kepada prestasi, model terbaru ini mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.0 saat dengan transmisi automatik atau 4.2 saat dengan transmisi manual. Kelajuan maksimum adalah 280 km/j dengan pakej M Driver’s.

Buat pertama kalinya bagi model CS, BMW menawarkan transmisi manual enam kelajuan secara standard manakala transmisi dwi-klac M tujuh kelajuan ditawarkan sebagai ciri pilihan.

Spesifikasi standard lain termasuk sistem suspensi Adaptive M dengan mod Comfort, Sport dan Sport+, serta brek M sport dengan angkup berwarna merah.

Pelanggan yang inginkan tahap prestasi lebih tinggi boleh mendapatkan kelengkapan tambahan seperti brek karbon seramik, Active M Differential dan M Dynamic Mode.

Previous post

Toyota GR Supra 3000GT Concept Bawa DNA Vintaj ke SEMA

Next post

Aprilia RS 660 Tarik Perhatian di EICMA

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *