Berita Auto

Aston Martin DBX Dibuka Untuk Tempahan – Dari RM798k

SUV pertama Aston Martin iaitu DBX telah diperkenalkan secara rasmi menjelang acara Los Angeles Auto Show yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Aston Martin DBX

Seperti DB11 dan Vantage, DBX turut menampilkan enjin 4.0-liter twin-turbo V8 namun dengan talaan tersendiri yang menghasilkan 550 PS dan 700 Nm. Enjin ini dipadankan dengan sistem ekzos aktif dan ciri penyahaktifan silinder.

Kuasa disalurkan menerusi transmisi automatik sembilan kelajuan yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda dengan ‘differential’ aktif pada bahagian tengah dan LSD elektronik pada gandar belakang (eDiff).

Menurut Aston Martin, gabungan tersebut membolehkan SUV seberat 2,245 kg ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 4.5 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 291 km/j.

Untuk perbandingan, DB11 V8 yang mempunyai 510 PS dan 675 Nm melakukan pecutan 0-100 km/j dalam empat saat dan boleh memecut sehingga 301 km/j. Harus diingat bahawa model ini adalah lebih ringan iaitu 1,760 kg.

Dibangunkan dengan platform SUV khas, DBX dilengkapi dengan sistem suspensi udara adaptif yang boleh menambah dan mengurangkan ketinggian kenderaan sebanyak 45 mm dan 50 mm.

Selain itu, ia juga mendapat sistem Electric Anti-Roll Control (eARC) yang boleh mengurangkan kesan olengan badan terutamanya ketika mengambil selekoh.

Dipasang di St Athan, Wales, DBX kini dibuka untuk tempahan dan akan diserahkan kepada pelanggan bermula suku kedua 2020. Bagi pasaran Malaysia, model ini boleh ditempah dengan harga bermula RM798,000 (tidak termasuk duti).

Mereka yang berminat boleh melayari www.astonmartinkualalumpur.com atau hubungi Aston Martin Kuala Lumpur di talian +60 (3) 2163 1196.

Previous post

MINI John Cooper Works GP 2020 Boleh Cecah 265 km/j

Next post

Mazda CX-30 Boleh Mula Ditempah - Harga Dari RM144k

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *