Berita Auto

Subaru WRX STI EJ20 Final Edition Rai Enjin ‘Boxer’ Lagenda

EJ20 adalah antara enjin paling terkenal dalam dunia automotif JDM tetapi sayangnya setelah 30 tahun berada di pasaran, pengeluaran enjin ‘boxer’ empat silinder itu akan dihentikan pada Mac tahun hadapan.

Subaru WRX STI EJ20 Final Edition

Sebagai penghormatan terakhir terhadap enjin tersebut, Subaru telah memperkenalkan sebuah model edisi terhad WRX STI EJ20 di Tokyo Motor Show baru-baru ini.

Menggunakan WRX STI Type S sebagai asas, model ini hadir dengan warna badan World Rally Blue Pearl dan rim aluminium BBS berukuran 19 inci berwarna emas yang mengingatkan kami kepada jentera rali Subaru yang beraksi dalam Kejohanan Rali Sedunia (WRC).

Selain itu, jalur berwarna Cherry Red digunakan untuk menghiasi jeriji hadapan serta bampar belakang.

Masuk ke ruang kabin, anda akan menjumpai kerusi sport Recaro lengkap dengan logo STI, stereng dengan kemasan Ultrasuede serta butang penghidup enjin berwarna merah dengan logo STI.

WRX STI EJ20 Final Edition turut mendapat ciri keselamatan Advanced Safety Package yang merangkumi Subaru Rear Vehicle Detection, High Beam Assist serta Front & Side View Monitor.

Di bawah hud, nadi EJ20 2.0-liter empat silinder turbo menjana 308 PS pada 6,400 rpm dan 422 Nm pada 4,400 rpm. Kuasa disalurkan ke roda menerusi transmisi manual enam kelajuan dan sistem pacuan semua roda Symmetrical All-Wheel Drive.

Menurut Subaru, tidak banyak penambahbaikan yang dilakukan terhadap enjin tersebut. Selain mempunyai plak istimewa “EJ20 Final Edition”, enjin tersebut dilengkapi dengan omboh, rod penghubung dan aci engkol seimbang, serta penutup klac dan flywheel baharu.

Model edisi akhir ini pasti menjadi rebutan ramai tetapi pasti ada yang kecewa kerana Subaru mengesahkan bahawa ia akan mengeluarkan 555 unit untuk pasaran Jepun sahaja.

Harga bagi model ini bermula dari 4,110,000 yen (RM157,978) untuk versi asas dan 4,410,000 yen (RM169,510) untuk versi Full Package yang menambah kerusi Recaro dan Advanced Safety Package.

Previous post

VinFast Terima Pensijilan Keselamatan ASEAN NCAP

Next post

Cawangan Toyota GR Garage Bahagian Selatan - Mutiara Motorsports (JB)

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *