Bisnes

Perodua Belanja RM7 Juta Beli Mesin Press Stamping Untuk IQM Sdn Bhd

Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik ini akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

Langkah ini membebaskan ruang di dalam kilang Perodua, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung.

Lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-model terdahulu.

perodua stamp 4

Kenyataan Media

Tanjung Malim, 29hb Okt: Perodua telah memusatkan pengeluaran alat ganti untuk model terdahulunya dengan pelancaran sebuah mesin press stamping baharu di premis pembekalnya IQM Sdn Bhd di sini hari ini.

Langkah ini merupakan salah satu inisiatif Perodua bersama dengan para pembekalnya untuk mengembangkan perniagaan dan keupayaan mereka ke arah menjadi pembekal automotif bertaraf dunia.

Perodua melaburkan RM7 juta bagi mesin tersebut, termasuk pengangkutan dan pemasangannya di IQM. Mesin stamping hidraulik 1,600-tan metrik itu akan menghasilkan komponen badan kenderaan seperti penutup enjin, panel luar sisi, panel suku belakang, fender, pintu dan bumbung untuk model Perodua terdahulu seperti Myvi generasi pertama, Viva, Kelisa dan juga Kancil.

Perodua juga telah memindahkan semua acuan stamping (dies) yang diperlukan untuk menghasilkan alat ganti model terdahulu ke IQM. Ini membebaskan ruang di dalam kilang Perodua, meringkaskan proses keseluruhan, menjimatkan kos dan masa, serta memudahkan pemantauan dan pengurusan di bawah satu bumbung. Perodua juga berkongsi kemahiran dan pengetahuan dengan IQM berkenaan pengeluaran alat ganti model terdahulu.

“Perodua membuat keputusan untuk memusatkan pengeluaran alat ganti model terdahulu di IQM berdasarkan empat teras. Satu, kami ingin terus menyokong para pemilik model-model terdahulu kami dengan alat ganti yang berkualiti, pantas dan berpatutan menerusi perniagaan Badan & Cat kami. Kerana selagi anda memiliki kenderaan Perodua – biar lama mahupun baharu – sentiasa di sisi anda akan kami berada.

“Dua, kami komited untuk membangunkan semua 135 pembekal kami di Malaysia, bukan sahaja melalui perniagaan kami dengan mereka tetapi menerusi perkongsian kemahiran dan teknologi. Tiga, langkah ini mewakili komitmen kami kepada negara dan ekonominya dengan peningkatan daya saing ekosistem automotif Malaysia.

“Akhirnya, ia mewakili komitmen Perodua untuk terus meningkatkan kualiti dan kecekapannya ke arah menjadi sebuah syarikat yang lebih baik, maju dan mampan,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Sejak 1994, Perodua telah menjual lebih 3.7 juta kenderaan di Malaysia. Kini, lebih kurang satu pertiga daripada keseluruhan permintaan untuk alat ganti Perodua adalah untuk model-model terdahulu.

Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua merupakan pembeli komponen automotif terbesar di Malaysia, membelanjakan RM4.5 bilion setakat tahun ini daripada RM5.4 bilion yang diperuntukkan untuk keseluruhan 2019.

IQM menjadi pembekal Perodua sejak 2002. Ia kini membekalkan komponen stamping logam, pemasangan badan dan tiub brek kepada Perodua. IQM mula menghasilkan alat ganti Viva apabila pengeluaran model tersebut berakhir pada 2014, dan pada tahun lepas ia mula menghasilkan alat ganti Myvi generasi kedua di barisan pengeluaran khas yang baharu.

  • Tamat
Previous post

Ducati Streetfighter V4 Adalah Panigale V4 Versi 'Naked'

Next post

Sani Express Tambah Armada Dengan Bas Baharu Scania

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *