Pandu Uji

Pandu Uji – Hyundai Santa Fe 2019

Adil jika penulis mengatakan bahawa kenderaan utiliti sukan atau SUV pada masa kini lebih kerap digunakan di dalam bandar, sama ada untuk berulang-alik ke pejabat atau ke pasaraya IKEA pada hujung minggu.

Hyundai Santa Fe - Pandu Uji

Tidak seperti trak pikap, jarang sekali tayar SUV menyentuh permukaan selain jalan berturap. Kalau ada pun, ketika pulang ke kampung halaman. Itu pun jika kampung itu berada jauh di kawasan pedalaman.

Hyundai Santa Fe

Tetapi ini tidak bermakna SUV yang ada di pasaran ketika ini tidak berupaya melakukan pemanduan off-road. Malah ada sesetengah model yang masih dilengkapi dengan ciri-ciri tertentu yang dibangunkan khas untuk tujuan ini. Contohnya, Hyundai Santa Fe baharu.

Dilancarkan di Malaysia pada Mei lalu, model generasi keempat ini ditawarkan dengan dua pilihan enjin iaitu 2.4 MPi 2WD (petrol) dan 2.2 CRDi AWD (diesel). Kedua-duanya boleh didapati dalam varian Executive dan Premium.

Hyundai Santa Fe

Bagi varian petrol, enjin aspirasi natural (NA) empat silinder itu menjana 172 PS pada 6,000 rpm dan 225 Nm pada 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke gandar hadapan menerusi transmisi automatik empat kelajuan.

Varian diesel tersebut pula nyata mempunyai kelebihan dengan output berjumlah 193 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm dari 1,750 hingga 2,750 rpm. Transmisi automatik lapan kelajuan ditugaskan untuk menghantar kuasa ke keempat-empat roda dengan bantuan sistem pacuan semua roda HTRAC.

Hyundai Santa Fe

Baru-baru ini, pihak Hyundai Sime-Darby Motors (HSDM) menjemput wakil media untuk menyertai sesi pandu uji yang bermula dari Shah Alam menuju ke destinasi yang agak unik iaitu hutan simpan Kenaboi yang terletak di Jelebu, Negeri Sembilan.

Perjalanan yang dirancang oleh penganjur memberi peluang kepada penulis untuk merasai sendiri kehebatan pengendalian model ini. Laluan Kuala Klawang yang terkenal dengan sifatnya yang bengkang bengkok dan tidak rata sedikit sebanyak menguji kemampuan casis yang ternyata lebih selesa dipandu di lebuh raya.

Hyundai Santa Fe

Namun begitu, walaupun dipaksa bekerja keras di setiap selekoh, sistem gantungan Santa Fe ternyata cukup kuat untuk menampung badannya sekaligus menghalangnya daripada menghasilkan olengan yang terlalu banyak.

Cuma, di kawasan berbukit itu, penulis perlu betul-betul mengerah enjin untuk mencapai kelajuan yang diinginkan. Tetapi ini boleh dianggap sebagai perkara biasa terutamanya bagi enjin NA yang tidak mendapat sebarang bantuan daripada pengecas turbo atau supercharger.

Hyundai Santa Fe

Setibanya di hutan simpan Kenaboi, cabaran pertama yang perlu dilalui adalah merentasi anak sungai. Walaupun tidak begitu dalam, arusnya yang sederhana kuat serta kehadiran batu di dasar memerlukan penulis untuk berhati-hati dalam melengkapkan cabaran tersebut.

Di sini, sistem pacuan HTRAC serta tujahan kuasa kilas yang tinggi pada tahap rpm rendah jelas memberikan Santa Fe diesel kelebihan apabila ia berjaya melintasi anak sungai tersebut dengan begitu lancar.

Hyundai Santa Fe

Apa yang penulis lakukan untuk melepasi cabaran ini adalah mengawal kekuatan pada kaki kanan supaya pedal pendikit ditekan secara sederhana setiap masa dan juga mengawal stereng mengikut keadaan.

Seterusnya, kami dibawa masuk ke dalam hutan di mana terdapat laluan berlumpur yang menjadikan pemanduan agak sukar. Sekali lagi, sistem HTRAC menjadi penyelamat dengan mengalihkan kuasa ke roda yang dikesan mempunyai cengkaman.

Hyundai Santa Fe

Apa yang menarik tentang HTRAC adalah sistem ini dibangunkan bagi menghasilkan yang meyakinkan dengan cara membahagikan kuasa kilas antara gandar hadapan dan gandar belakang. Terdapat tiga mod yang disediakan iaitu Normal, Sport dan Smart.

Dalam mod Normal, 35% kuasa kilas disalurkan ke gandar belakang, manakala dalam mod Sport, jumlah tersebut meningkat kepada 50%. Mod Smart pula membahagikan kuasa kilas mengikut keadaan pemanduan. Pintar, bukan?

Hyundai Santa Fe

Setelah membaca ulasan ini, anda mungkin fikir bahawa Santa Fe lebih sesuai untuk mereka golongan bujang yang gemarkan melakukan aktiviti lasak. Betul, tetapi seperti kebanyakan SUV lain di dalam pasaran, ia juga amat sesuai untuk mereka yang bekeluarga.

Selain mempunyai ruang kabin yang luas, model ini juga didatangkan dengan pelbagai kelengkapan yang menjadikan ia kereta keluarga yang berbaloi untuk dimilik. Antaranya adalah tiga barisan tempat duduk, sistem pendingin hawa dua zon, empat port USB (dua di hadapan, dua di belakang), rak bumbung, penutup but automatik dan bermacam lagi.

Hyundai Santa Fe

Ciri keselamatan yang disertakan tidak kurang hebatnya, dengan enam beg udara, Electronic Stability Control (ESC), Anti-lock Braking System (ABS), Downhill Brake Control (DBC), Hill Start Assist Control (HAC), Brake Assist (BAS) dan Traction Control System (TCS) disertakan secara standard pada semua varian.

Bukan itu sahaja, varian Premium mendapat kelengkapan tambahan iaitu Rear Cross Traffic Collision Warning (RCCW), Blind Spot Collision Warning (BCW) dan Rear Occupant Alert (ROA). ROA akan membunyikan amaran sekiranya anda terlupa tentang anak anda di tempat duduk belakang setelah keluar dari kereta.

Hyundai Santa Fe

Dengan harga bermula dari RM169,888 bagi varian petrol dan RM191,888 bagi varian diesel, Santa Fe memang lebih mahal jika dibandingkan dengan pesaingnya. Tetapi apa yang anda dapat adalah SUV yang bukan sahaja cukup lengkap dari segi spesifikasi, malah mempunyai kualiti binaan yang tidak jauh berbeza dengan kenderaan buatan Eropah.

Previous post

Keputusan Perlumbaan 1 Toyota Gazoo Racing Festival & Toyota Vios Challenge

Next post

Bolehkah Kereta Kena Banjir Diselamatkan?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *