Berita Auto

13,000 Perodua Aruz Sudah Diserahkan Kepada Pemilik

Perodua sedang mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran Aruz, dengan kira-kira 13,000 (52%) daripada 25,000 tempahan yang diterima setakat ini sudah dihantar.

BHP Banner Ekspot Proton

“Kami telah berjaya mempercepatkan penghantaran Perodua Aruz kepada 110 unit sehari secara purata daripada 100 sebelumnya. Kami akan terus bekerjasama rapat dengan para pembekal kami untuk terus mengurangkan jurang antara tempahan dan penghantaran,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

“Perodua Aruz telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Kami mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua Aruz antara SUV yang terlaris di negara ini.

“Kepada pelanggan kami yang dihargai, kami dengan rendah hati dan tulus ikhlas memohon maaf andai kenderaan baharu anda tidak berjaya dihantar menjelang tibanya Hari Raya.

Perodua Aruz AV_3638

“Perodua sedang bertungkus-lumus untuk memaksimumkan pengeluaran dan penghantaran bagi memendekkan masa menunggu anda. Kami amat berterima kasih atas pemahaman, kesabaran dan kepercayaan anda,” katanya.

Kecekapan bahan api Perodua Aruz 15.6 km/l yang terbaik dalam segmennya membolehkan ia diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV). Dengan enam beg udara dan Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), ditambah dengan Advanced Safety Assist 2.0 yang terdapat pada varian AV, Aruz diperakui dengan penarafan keselamatan maksimum ASEAN NCAP lima-bintang.

Tertakluk kepada angka rasmi Persatuan Automotif Malaysia (MAA), Perodua telah menjual sebanyak 22,943 kenderaan sepanjang Mei 2019, mengikut kiraan dalaman. Ini membawa jumlah lima bulan pertamanya kepada 105,743 unit – lonjakan 8.5% berbanding dengan jualan 97,487 unit dari Januari hingga akhir-Mei 2018.

Perodua Aruz AV_3554

“Kami juga mengucapkan terima kasih kepada pembekal komponen tempatan kami yang telah membuktikan kebolehan mereka dengan meningkatkan pengeluaran dan mengekalkan kualiti mereka untuk memenuhi permintaan tinggi bagi model-model Perodua, yang kesemuanya mengandungi lebih 90% komponen tempatan,” kata Dato’ Zainal.

“Kami mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua umat Islam dan kepada semua rakyat Malaysia, selamat bercuti. Pandulah dengan cermat dan berhemah, dan utamakanlah keselamatan selalu,” tambahnya.

Previous post

Lebuhraya Persekutuan Sekali Lagi Bukan Untuk Motosikal

Next post

Bagaimana Anda Boleh Tertinggal Anak Di Kawasan Rehat & Rekreasi?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *