Berita Auto

BMW 1 Series Kini Memasuki Generasi Ketiga

BMW telah memperkenalkan 1 Series generasi ketiga yang turut dikenali dengan kod casis F40. Selain reka bentuk, perubahan paling besar pada model kompak ini adalah peralihan daripada platform pacuan roda belakang kepada platform pacuan roda hadapan.

BHP Banner Supra

Menurut BMW, peralihan ini menghasilkan ruang but yang lebih besar serta ruang kabin yang lebih luas terutamanya untuk penumpang belakang.

2019-bmw-m135i-xdrive (2)

Tidak seperti kebanyakan kereta yang membesar mengikut generasi, 1 Series baharu sebenarnya 5 mm lebih pendek berbanding model terdahulu dengan ukuran panjang 4,319 mm. Ia 34 mm lebih lebar pada 1,799 mm manakala ketinggian turut bertambah sebanyak 13 mm menjadi 1,434 mm. Dengan ukuran 2,670 mm, jarak roda (wheelbase) berkurang sebanyak 20 mm.

2019-bmw-m135i-xdrive (5)

Walaupun begitu, penumpang belakang kini boleh masuk dan keluar dengan mudah kerana ruang lutut telah bertambah sebanyak 33 mm dan ruang kepala bertambah sebanyak 19 mm dengan tambahan bumbung panoramik. Ruang siku turut bertambah sebanyak 13 mm di belakang dan 42 mm di hadapan.

2019-bmw-m135i-xdrive (6)

Ruang but turut membesar menjadi 380 liter (tambahan sebanyak 20 liter berbanding model sebelum ini) dan jika kerusi belakang dilipat, ia menjadi 1,200 liter. Buat pertama kalinya dalam sejarah 1 Series, tailgate elektrik ditawarkan secara pilihan.

2019-bmw-m135i-xdrive (8)

Reka bentuk yang ditampilkan kali ini dilihat lebih seragam dengan model-model semasa BMW dengan bentuk lampu lebih tajam serta jeriji ‘kidney’ yang lebih besar dan bertemu di tengah. Dari sisi, profil ‘hidung jerung’ seperti 8 Series dan Hoffmeister Kink boleh dilihat dengan jelas, manakala bahagian belakang pula tampak seperti X2 dengan lampu LED dengan grafik ‘L’ dan muncung ekzos berkembar.

2019-bmw-m135i-xdrive (4)

Reka bentuk kabin juga tidak jauh berbeza dengan produk BMW yang lain. Terdapat paparan multimedia berukuran 10.25 inci yang dihalakan ke arah pemandu dan juga kluster instrumen digital sepenuhnya dalam saiz yang sama. Paparan ‘head up’ berukuran 9.2 inci yang memaparkan pelbagai maklumat juga boleh didapati.

2019-bmw-m135i-xdrive (1)

1 Series akan ditawarkan dengan tiga pilihan enjin diesel dan dua enjin petrol. Varian tertinggi iaitu M135i xDrive menampilkan enjin empat silinder BMW yang paling berkuasa setakat ini dengan 306 hp dan 405 Nm. Ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.8 saat (4.7 saat dengan pakej M Performance) dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

2019-bmw-m135i-xdrive (3)

Apa yang menarik, BMW menawarkan tiga jenis transmisi bagi 1 Series. Varian 116d, 118d dan 118i didatangkan standard dengan transmisi manual enam kelajuan, manakala transmisi Steptronic tujuh kelajuan ditawarkan secara pilihan bagi 116d dan 118i. Transmisi Steptronic lapan kelajuan adalah standard pada 120d xDrive manakala transmisi Steptronic Sport lapan kelajuan adalah satu-satunya pilihan bagi M135i xDrive.

Previous post

TRD Lancar Barangan Body Styling Toyota Supra

Next post

Adakah Toyota Akan Serang Balas Dengan Corolla Ini?

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *