Pandu Uji

Pandu Uji: Ford Ranger Raptor

Sejak ia mula diperkenalkan, trak pikap sebahagian besarnya digunakan sebagai pengangkutan komersial untuk memudahkan pemilik perniagaan atau syarikat menjalankan urusan seharian mereka.

BHP-Infiniti-Thematic_Web-Banner_DSF_ENG_650x85_FA

Namun dengan pasaran yang berkembang pesat dan tawaran produk yang semakin menarik, ia dilihat semakin mendapat tempat di hati pengguna biasa yang kebanyakannya tidak memerlukan trak pikap pun. Dalam erti kata lain, trak pikap secara perlahan-lahan telah menjadi satu aksesori gaya hidup.

Ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana pada masa kini semakin banyak pengeluar yang menawarkan trak pikap dalam portfolio produk mereka dan rata-ratanya didatangkan dengan pelbagai ciri canggih dan teknologi terkini yang sebelum ini hanya boleh didapati pada kenderaan penumpang.

IMG_1869

Malah, ada pengeluar yang lebih berani untuk berfikir di luar kotak dan menawarkan trak pikap berprestasi tinggi dengan harapan ia dapat menarik perhatian mereka yang mahukan sesuatu yang mampu memecut seperti sebuah kereta sport dan pada masa yang sama cukup gagah untuk dibawa masuk ke dalam hutan.

Pengeluar yang dimaksudkan adalah Ford yang buat pertama kalinya telah menghasilkan Ranger Raptor dengan bantuan Ford Performance, divisyen sama yang bertanggungjawab membangunkan model-model seperti F-150 Raptor, GT, Focus RS dan Mustang.

IMG_1778

Dilancarkan di Thailand pada awal tahun ini dan dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) 2018 baru-baru ini, Ranger Raptor dibangunkan dengan konsep yang sama dengan F-150 Raptor namun ia hanya akan dijual di pasaran di mana F-150 tidak dijual. Ini termasuklah pasaran Asia dan Eropah.

Banyak perkara yang membuatkan Ranger Raptor berbeza dengan mana-mana varian Ranger lain yang dijual. Dari luaran, model ini jelas lebih agresif dengan gerbang roda yang lebih lebar, bampar hadapan yang dipasang terus pada rangka serta gril hitam dengan tulisan ‘Ford’ gergasi seperti yang terdapat pada F-150 Raptor.

IMG_1926

Bahagian dalaman pula tidak ubah seperti kabin kereta sport sebenar dengan tempat duduk bucket yang dihiasi balutan suede dan kulit serta sulaman ‘Raptor’, stereng dengan penanda merah pada jam 12 serta dan paddle shifter yang diperbuat daripada magnesium. Terus terang penulis katakan, tidak ada trak pikap standard kilang yang lebih sporty daripada ini.

Di bawah hud tersimpan ‘nadi’ utama Ranger Raptor iaitu enjin diesel 2.0-liter Biturbo empat silinder baharu yang menjana 213 PS pada 3,750 rpm dan 500 Nm dari 1,750 hingga 2,000 rpm. Jumlah ini bukanlah sesuatu yang boleh dikatakan sebagai ‘mind blowing’, tetapi ia sekurang-kurangnya lebih tinggi berbanding enjin 3.2-liter lima silinder yang digunakan pada model Wildtrak sebelum ini.

IMG_1681

Seperti F-150, Ranger Raptor mempunyai transmisi automatik 10 kelajuan baharu yang boleh dioperasikan dengan menggunakan paddle shifter yang diperbuat daripada aloi magnesium. Ia memang terasa berkualiti dan sedap digunakan, namun anda mungkin tidak memerlukannya kerana transmisi tersebut mampu melakukan tugasnya sendiri dengan cekap. Kehadiran 10 gear memberikan nisbah lebih besar dan ini secara tidak langsung menghasilkan pecutan yang lancar.

Satu lagi keunikan model ini adalah rangkanya yang diperkuatkan untuk penggunaan yang lebih lasak. Rangka ini dipadankan dengan pegas gegelung belakang (bukan ‘leaf spring’ seperti kebanyakan trak pikap) dengan Watt’s Linkage yang direka untuk menambahbaik pengendalian off-road.

IMG_1700

Selain itu, ia juga mendapat teknologi Position Sensitive Damping (PSD) yang dibangunkan oleh Fox Racing Shox. Secara ringkasnya, jika anda mampu membuat lompatan dalam Ranger Raptor, ciri tersebut akan bertindak sebagai ‘tangan’ yang menyambut agar anda boleh mendarat dengan lembut dan terus memandu seperti tiada apa-apa yang berlaku.

Ciri Terrain Management System (TMS) menawarkan dua mod jalanan iaitu Normal dan Sport, serta empat mod off-road iaitu Grass/Gravel/Snow, Mud/Sand, Rock, serta yang paling menarik, Baja. Mod-mod ini boleh dipilih menerusi butang kawalan pada sebelah kiri stereng.

IMG_1761

Sayangnya, perjalanan sejauh kurang 100 km dari Setia Alam ke Bentong yang dirancang oleh penganjur sedikit sebanyak mengehadkan masa ‘bermain’ penulis dengan Ranger Raptor. Pun begitu, ketika memandunya di lebuh raya Karak, penulisan dapat merasakan jentera besar ini mempunyai karakteristik yang tidak jauh berbeza dengan kereta penumpang biasa.

Terima kasih kepada ciri Active Noise Cancellation, keadaan di dalam kabin begitu tenang dan hanya sekali-sekala bunyi angin dan deruman enjin kedengaran, itu pun dengan memijak pendikit secara agresif. Tayar All Terrain (AT) keluaran BF Goodrich juga boleh dikatakan agak senyap untuk tayar bersaiz 33 inci dengan bunga yang kasar.

IMG_1809

Pengendaliannya juga tidak sama seperti trak pikap lain. Penggunaan enjin yang lebih kecil dan ringan menghasilkan bahagian hadapan yang responsif dan peka dengan input dari stereng, manakala pegas gegelung pada bahagian belakang membuktikan kemampuannya dengan mengurangkan olengan badan ketika mengambil selekoh dengan laju.

Selain mod Normal dan Sport, penulis juga sempat mencuba mod Baja ketika memandu uji model ini di sebuah tanah kosong yang berpasir. Disebut “ba-ha”, mod ini dibangunkan untuk pemanduan off-road berkelajuan tinggi seperti dalam perlumbaan rali Baja. Campur tangan Traction Control yang dikurangkan membolehkan penulis memandu seperti orang hilang akal dengan lebih mudah tanpa sebarang kekangan.

IMG_1909

Bukan itu sahaja, pendikit terasa lebih cepat bertindak balas berbanding mod Sport manakala prestasi transmisi turut dioptimumkan dengan menahan gear lebih lama. Penukaran gear juga dilakukan dengan lebih agresif dan penulis dapat merasakan dengan jelas setiap kali gear diturunkan.

Penulis merasakan bahawa Ranger Raptor bukan sahaja trak pikap yang lasak, ia juga versatil dan sesuai untuk digunakan di mana sahaja di negara ini, sama ada di tengah hutan konkrit, ladang sawit atau di hutan belantara. Namun berdasarkan komen-komen yang diberikan di laman media sosial, ramai yang mengatakan bahawa harga RM199,888 adalah terlalu mahal untuk trak yang serba boleh ini.

IMG_1736

Pada pendapat penulis, harga Ranger Raptor ini tidak melampau, lebih-lebih lagi di dalam pasaran di mana ‘hot hatch’ yang hanya boleh dipandu di atas jalan raya bertar boleh dijual pada harga suku juta Ringgit Malaysia. Harus diingat bahawa jentera ini dibangunkan untuk penggunaan yang lebih ekstrem dari biasa dan komponen-komponennya (seperti rangka yang diperkuatkan, suspensi Fox dan sebagainya) sememangnya ditala dari kilang untuk tujuan tersebut. Tidak seperti trak pikap yang lain, Ranger Raptor bukan untuk semua.

Spesifikasi Ford Ranger Raptor
Enjin: diesel BiTurbo empat silinder
Kapasiti: 1,996 cc
Kuasa: 213 PS @ 3,750 rpm
Tork: 500 Nm @ 1,750-2,000 rpm
Transmisi: automatik 10 kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM199,888

IMG_1881

IMG_1851

IMG_1728

IMG_1827

IMG_1725

IMG_1708

IMG_1667

IMG_1929

IMG_1715

IMG_1896

 

Previous post

Trak Pikap Hyundai Bakal Tiba Tidak Lama Lagi

Next post

Tiga Ganjaran Hebat Menanti Anda Menerusi Kempen 3XTRAORDINARY Savings Honda

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *