Sukan

Zaqhwan Zaidi Terlepas Podium

Pelumba Australia, Anthony West terus mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih kemenangan berganda dalam saingan SuperSports 600 Kejuaraan Motosikal Asia manakala pelumba negara, Mohd Zaqhwan Zaidi terlepas kedudukan podium apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat pada Perlumbaan 2 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berakhir di Litar Lumba Motor Madras, India, hari ini.

BHP

Selepas muncul juara dalam Perlumbaan 1, semalam, West sekali lagi beraksi cemerlang apabila menamatkan 16 pusingan perlumbaan bersendirian ke garisan penamat dengan masa keseluruhan 27’10.157s mengatasi Tomoyoshi Koyama (Musashi Boon Siew Honda Racing) yang bergelar naib juara dengan masa 27’17.240s diikuti Taiga Hada (Idemitsu Honda Racing India by T.Pro Ten10) ketiga dengan masa 27’17.568s.

Zaqhwan yang bermula dari petak ketiga terpaksa berpuas hati di tempat keempat sekalipun seringkali berada di kedudukan podium ketika bersaing sengit bersama-sama Koyama dan Haida namun akur dipintas oleh kedua-dua pelumba itu pada penghujung perlumbaan dan melintasi garisan penamat dengan masa keseluruhan 27’18.209s.

“Saya agak kecewa dengan prestasi hari ini kerana pada satu ketika sudah berada di kedudukan podium. Namun, inilah perlumbaan, sebarang kesilapan boleh membawa kekecewaan. Saya sudah mencuba yang terbaik dan turut berterima kasih kepada seluruh pasukan yang telah bekerja keras pada minggu ini. Kami akan cuba membuat yang lebih baik selepas ini di Indonesi, jeas Zaqhwan.

Podium 600

Dua kemenangan di India meletakkan West terus menerajui kedudukan keseluruhan dengan mengumpul 136 mata sementara seorang lagi pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman yang menamatkan perlumbaan di tempat kelima naik ke tangga kedua dengan mengumpul 85 mata.

Pelumba Jepun, Yuki Ito yang terjatuh pada selekoh terakhir perlumbaan ketika sedang berada di kedudukan keempat turun ke tangga ketiga dengan 76 mata.

Sementara itu, Ahmad Fazli Sham menamatkan saingan di India dengan cemerlang apabila berjaya meraih gelaran berganda setelah muncul juara Perlumbaan 2 Underbone 150cc dengan masa keseluruhan 18’59.247s.

Fazli and Helmi

Mengekori di belakang pelumba ONEXOX TKKR Racing itu ialah Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing) yang menamatkan perlumbaan dengan masa 18’59.355s manakala rakan sepasukan Helmi, Travis Hall berjaya meletakkan nama selaku pelumba Australia pertama menjejakkan kaki di podium dalam kelas tersebut dengan penamat di tempat ketiga.

Dua gelaran naib juara di India membantu Helmi untuk terus menjarakkan diri selaku pendahulu keseluruhan dengan mengumpul 134 mata manakala Md Izzat Zaidi (RCB Yamaha YY Pang Racing) kekal di tangga kedua dengan 111 mata sementara Fazli melonjak ke tangga ketiga dengan 88 mata.

Previous post

Keputusan Jualan Lexus Worldwide 1H 2018 Diumumkan

Next post

Toyota Vios Challenge Pusingan Terengganu Penuh Drama

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *