Berita Auto

Weststar Maxus Buka Pusat 3S Bukit Mertajam, Lancar Model Baharu

Kemajuan ekonomi di wilayah utara menjadi antara faktor utama yang mendorong Westar Maxus membuka pusat 3S miliknya yang baharu di Bukit Mertajam. Pembukaan pusat jualan, servis dan alat ganti itu dilaksanakan bagi memberi khidmat sokongan yang amat diperlukan kepada pelanggan Maxus sedia ada dan akan datang di negeri- negeri di utara.

Pusat 3S terbaharu itu akan dijadikan sebagai hab Weststar Maxus di wilayah utara bagi menyediakan perkhidmatan berkualiti untuk pelanggannya di Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis. Syarikat itu menjangkakan jualannya akan meningkat sekurang-kurangnya sebanyak 30% dengan perluasan rangkaian produk dan pakej perkhidmatan serta kempen promosi yang menarik.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Weststar, Datuk Vikram Menon menjelaskan bahawa komponen perkhidmatan selepas jualan merupakan sebahagian daripada pelan untuk mengembangkan jenama Weststar Maxus. Pembukaan pusat terbaharu itu membolehkan pelanggan mendapat khidmat daripada juruteknik-juruteknik yang terlatih. Syarikat itu juga sedang merancang untuk membuka satu lagi pusat 3S di Alor Setar.

Pelancaran pusat 3S baharu itu turut menyaksikan pelancaran van komersial Maxus V80 2018 yang boleh diubahsuai bagi memenuhi keperluan sesebuah perniagaan itu sendiri. Antara pelanggan-pelanggan fleetnya yang kian berkembang termasuklah Eco Coach Travel and Tours, DHL, Federal Express dan FFM-Massimo. Selain daripada itu, beberapa agensi kerajaan seperti Tentera Udara DiRaja Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur turut mempunyai fleet van itu.

BHP

Maxus V80 menawarkan kadar penggunaan ruang yang paling tinggi, jarak kelegaan tanah serta ketinggian dalaman yang terbaik berbanding van-van komersial yang lain. Ia juga berjaya melepasi ujian kenderaan jalan raya ECE yang paling ketat di dunia. Dengan
sokongan serta sumber global syarikat automotif terbesar China, SAIC Automotive Co Ltd, Maxus V80 mengguna pakai bahagian serta komponen daripada pembekal komponen ternama dunia.

Fleksibiliti van panel Maxus V80 membolehkan pengubahsuaian dilakukan untuk menjadikannya sebagai pejabat bergerak, trak makanan serta dapur, ambulans, perpustakaan bergerak, kenderaan penghantaran dan sebagai galeri pameran jualan bergerak. Sementara itu, van bertingkap Maxus V80 yang direka bentuk sebagai kenderaan pengangkutan bersaiz penuh boleh memuatkan 15 penumpang dengan selesa.

Bersempena dengan pelancaran V80, Weststar Maxus menawarkan insentif yang menarik iaitu servis percuma sehingga 150,000 km dengan jaminan selama tiga tahun. Servis percuma untuk semua model Weststar Maxus termasuklah alat ganti, upah buruh serta pelincir.

Weststar Maxus turut merancang untuk melancarkan Maxus V80 versi elektrik sepenuhnya yang dikenali sebagai EV80 dalam tempoh terdekat sebagai sebahagian daripada inisiatif hijau syarikat tersebut.

Previous post

Subaru Forester e-Boxer Mungkin Datang Ke ASEAN

Next post

Hafiz Raih Kemenangan Sulung CP150 di Temerloh

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *