Berita Auto

Pengeluaran Perodua Myvi Terganggu Akibat Masalah Bekalan

Pengeluaran model paling laris Perodua, Myvi baharu, telah diberhentikan buat sementara waktu berikutan gangguan bekalan di salah satu vendornya, yang mengakibatkan kira-kira 3,000 pelanggan tidak dapat mendaftarkan Perodua Myvi baharu mereka sebelum akhir bulan Ogos ini.

BHP

“Kami ingin memohon maaf kepada para pelanggan kami yang telah sabar menunggu kenderaan baru mereka,” kata Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn Bhd, Dato’ Dr Zahari Husin.

“Kami bertanggungjawab sepenuhnya terhadap isu ini dan sedang mengambil semua langkah yang diperlukan untuk memastikan pengeluaran bermula semula secepat mungkin,” katanya.

Dato’ Dr Zahari berkata, keutamaan kini adalah untuk menyerahkan Myvi baharu kepada kira-kira 3,000 pelanggan yang pada asalnya dijadualkan menerima kenderaan mereka sebelum 1 September.

“Kami amat memahami dan prihatin terhadap kekecewaan pelanggan kami yang terlibat. Oleh itu, kami sedang berusaha untuk memberikan pampasan yang sesuai dan akan menghubungi para pelanggan kami menerusi cawangan-cawangan kami di seluruh Malaysia tidak lama lagi,” tambah beliau lagi.

Perodua Myvi

Terdapat peningkatan dari segi permintaan terhadap kenderaan sejak kadar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikurangkan dari 6% hingga 0% berkuatkuasa 1 Jun 2018, lebih awal daripada pengenalan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) pada 1hb September.

Setakat ini, lebih daripada 68,000 Myvi telah diserahkan kepada pemiliknya daripada lebih 120,000 tempahan yang diterima sejak pelancarannya pada November 2017, menjadikan ia produk terlaris Perodua dari segi jualan untuk sepanjang tahun setakat ini.

“Kami sedang berusaha keras untuk mengatasi gangguan bekalan ini dan memulakan semula pengeluaran Myvi secepat mungkin. Walaupun begitu, pengeluaran model kami yang lain tetap beroperasi seperti biasa dan penghantaran bagi Axia, Bezza dan Alza masih terus berjalan seperti yang dijadualkan,” kata Dato’ Dr Zahari.

Perodua telah menjual kira-kira 140,000 kenderaan antara Januari dan Julai tahun ini, dengan peningkatan hampir 19% berbanding 118,600 yang dijual pada tempoh yang sama sebelumnya.

Previous post

Renault Twizy Untuk Ibu

Next post

Audi Mendahului Mercedes & BMW Di China

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *