Berita Auto

Mercedes-Benz Malaysia Lancar Barisan ‘Dream Cars’ Baharu

Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan tiga model baharu bagi barisan Dream Cars mereka iaitu AMG GT C, CLS-Class Coupe dan E-Class Cabriolet.

BHP

AMG GT C (RM1,461,605 harga atas jalan tanpa insurans)

Mercedes-AMG GT C

Varian GT ketiga yang dilancarkan di negara ini, GT C dikuasakan oleh enjin 4.0-liter biturbo V8 yang menghamburkan 557 hp, 47 hp lebih tinggi berbanding GT S dan 28 hp lebih rendah berbanding GT R. Tork maksimum 680 Nm tersedia dari 1,900 hingga 5,750 rpm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.7 saat dengan kelajuan maksimum 316 km/j.

Mercedes-AMG GT C

GT C turut mendapat transmisi automatik dwi-klac tujuh kelajuan AMG Speedshift yang menyalurkan kuasa ke roda belakang. Gear pertama mempunyai nisbah lebih tinggi, manakala gear ketujuh dan pacuan akhir mempunyai nisbah lebih rendah, menghasilkan pecutan yang responsif.

Mercedes-AMG GT C

Pemandu boleh menetapkan mengikut keperluan individu menerusi kawalan AMG Dynamic Select yang menawarkan empat mod iaitu Comfort, Sport, Sport+ dan Individual.

Mercedes-AMG GT C

Kelengkapan standard lain yang ada termasuklah suspensi sport AMG Ride Control dengan sistem peredam adaptif, serta kawalan stereng roda belakang daripada GT R, Limited-slip Differential, stereng sport sensitif kelajuan dan ESP tiga peringkat.

AMG CLS 53 4Matic+ (RM806,638 harga atas jalan tanpa insurans)

Mercedes-AMG CLS 53

Kini memasuki generasi ketiga, pengenalan CLS di Malaysia turut membawa enjin baharu Mercedes-Benz yang dilengkapi dengan pemampat boost elektrik dan Integrated Starter Generator (ISG).

Mercedes-AMG CLS 53

CLS 53 dikuasakan oleh enjin 3.0-liter enam silinder sebaris baharu yang menghasilkan 435 hp dan 520 Nm. Enjin tersebut mendapat kuasa tambahan sebanyak 22 hp dan 250 Nm daripada starter-alternator EQ Boost yang merupakan sebahagian daripada sistem elektrik 48V.

Mercedes-AMG CLS 53

Dipadankan dengan transmisi automatik AMG Speedshift sembilan kelajuan, model coupe empat pintu ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.5 saat dan boleh mencecah sehingga 270 km/j dengan Driver’s Package. Penggunaan bahan api adalah 8.7 l/100 km manakala pelepasan emisi CO2 adalah 200 g/km.

Mercedes-AMG CLS 53

CLS 53 dilengkapi dengan suspensi udara AMG Ride Control dengan Adaptive Damping System (ADS+) yang dikatakan dapat mengurangkan ‘body roll’. Selain itu, bahagian kabin model ini menampilkan dua paparan bersaiz 12.3 inci dan stereng AMG Performance baharu.

CLS 450 (RM650,034 harga atas jalan tanpa insurans)

Mercedes-Benz CLS 450

Sama seperti saudara AMG-nya, CLS 450 turut menampilkan enjin enam silinder baharu, namun kuasa telah dikurangkan kepada 367 hp dan 500 Nm, dengan tambahan sebanyak 22 hp dan 250 Nm dari sistem EQ Boost. Ia mampu mencapai 250 km/j dan memerlukan 4.8 saat untuk melengkapkan pecutan 0-100 km/j.

Mercedes-Benz CLS 450

Model ini mempunyai banyak persamaan dengan S-Class, termasuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan seperti Active Brake Assist, Lane Keeping Assist, Attention Assist, Speed Limit Assist dan sistem perlindungan penumpang Pre-Safe.

Mercedes-Benz CLS 450

Ia turut dilengkapi dengan lampu utama Multibeam LED yang boleh mengeluarkan pancaran cahaya maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang.

E 300 Cabriolet AMG Line (RM588,888 harga atas jalan tanpa insurans)

Mercedes-Benz E 300 Cabriolet

Menyusuli S-Class Cabriolet dan C-Class Cabriolet yang dilancarkan baru-baru ini, E-Class Cabriolet hanya ditawarkan dalam varian E 300 bagi pasaran Malaysia.

Mercedes-Benz E 300 Cabriolet

Ia mempunyai bumbung fabrik yang boleh didapati dalam beberapa warna iaitu coklat gelap, biru tua, merah atau hitam. Strukturnya yang mempunyai pelbagai lapisan mampu mengurangkan bunyi angin dan ini membolehkan penumpang berbual antara satu sama lain walaupun kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi. Bumbung tersebut boleh dibuka dan ditutup dalam 20 saat, pada kelajuan sehingga 50 km/j.

Mercedes-Benz E 300 Cabriolet

E 300 Cabriolet dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 245 hp dan 370 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.5 saat dengan kelajuan maksimum 250 km/j.

Mercedes-Benz E 300 Cabriolet

Kelengkapan standard termasuk suspensi Dynamic Body Control, lampu utama Multibeam LED serta sistem Dynamic Select dengan mod Comfort, Eco, Sport, Sport+ dan Individual.

 

 

Previous post

MSO Ubahsuai 600LT Dalam Kelabu Stealth Dengan Cantik Sekali

Next post

Honda Malaysia Lancar Kempen 'Joy of Buying'

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *