Berita Auto

Mazda CX-3 2018 Dilancarkan Secara Rasmi di Malaysia

Bermaz Motor hari ini melancarkan Mazda CX-3 2018 baharu yang telah dipertingkatkan. Mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2015, crossover ini ditala semula dan diperhalusi semakin elegan, selain dapat menawarkan prestasi pemanduan yang mantap dan efisien.

BHP

CX-3 baharu tampil lebih segar dengan perubahan luaran yang tidak terlalu ketara. Ini termasuk gril hadapan rekaan terkini dengan kemasan krom, lampu belakang yang lebih tajam dan rim baharu.

2018 Mazda CX-3

Dari segi dalaman pula, model ini menerima papan pemuka yang dinaiktaraf, kemasan berwarna merah pada bilah corong pendingin hawa dan paling ketara ialah penggunaan brek parkir elektronik yang menghasilkan konsol tengah yang lebih luas. Penambahbaikan lain merangkumi tempat duduk hadapan baharu yang memberi sokongan dan keselesaan lebih baik dan pemegang botol minuman pada perehat tangan tempat duduk belakang.

2018 Mazda CX-3

NVH juga telah ditambah baik menerusi penggunaan panel pintu, kaca luaran dan kedap pintu yang lebih tebal. Dari segi peningkatan dinamik kenderaan pula, sistem suspensi telah ditala semula untuk pemanduan lebih lancar manakala stereng kuasa dan casis turut dipertingkatkan untuk memberikan pengalaman pemanduan Jinba Ittai yang menyeronokkan.

2018 Mazda CX-3

CX-3 dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 2.0L dengan 154 hp dan 206 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam kelajuan bersama ciri penukaran gear secara manual, mod sport dan teknologi G-Vectoring Control (GVC).

2018 Mazda CX-3

Antara ciri keselamatan dinamik i-ActivSense yang ada ialah Blind Spot Monitoring (BSM) dan Rear Cross Traffic Alert (RCTA). BSM membantu mengesan dan memberi amaran kepada pemandu tentang kehadiran kenderaan di kawasan titik buta dengan memaparkan
ikon pada cermin sisi berkaitan manakala RCTA pula berfungsi memberi amaran kepada pemandu apabila ia mengesan ada kenderaan mendekati dari kedua-dua arah ketika hendak mengundur.

2018 Mazda CX-3

Mazda CX-3 2018 ditawarkan dalam enam pilihan warna iaitu Soul Red Crystal, Ceramic Metallic, Machine Grey, Deep Crystal Blue, Jet Black Mica dan Snowflake White Pearl. Harga jualan ialah RM121,134 (OTR tidak termasuk insurans).

Previous post

Touch 'n Go Hentikan Jualan SmartTAG Sebagai Persediaan Pelaksanaan RFID

Next post

Mazda6 2018 Masuk Pasaran Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *