Bisnes

Jualan PROTON Pada Bulan Jun Meningkat Sebanyak 50%

PROTON mengakhiri separuh tahun pertama 2018 dengan mencatatkan jumlah jualan yang
kukuh bagi bulan Jun. Jualan kereta meningkat 50% berbanding bulan lepas dengan sebanyak 6,173 kereta Proton dijual
kepada rakyat Malaysia yang telah mengambil kesempatan daripada tawaran GST berkadar sifar serta promosi Duit Raya
yang ditawarkan oleh PROTON.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Pegangan pasaran hampir 10% dengan Saga dan Persona yang mendahului jualan

Seiring dengan kenaikan jualan ini, jumlah pegangan pasaran turut meningkat di mana PROTON berjaya memperoleh lebih
kurang 10% daripada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi Jun berbanding 9.5% pada sebelum ini.

Sama seperti bulan-bulan sebelum ini, Saga dan Persona terus mendahului jualan dengan jumlah pendaftaran hampir 3,000
unit dijual. Pembeli tertarik dengan kelebihan yang ada pada sedan kompak keluarga PROTON ini kerana ianya yang paling
mampu milik, keluasan dan pengendaliannya serta promosi harga Saga Terbaik dalam jangka masa 10 tahun dengan tawaran
harga di bawah RM30,000. Kualiti produk yang telah ditambahbaik untuk semua kereta Proton juga merupakan faktor
penyumbang kerana pelaksanaan sistem Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) telah menunjukkan pengurangan yang
ketara bagi mata demerit pengeluaran.

“Bulan Jun merupakan bulan terbaik dalam tahun 2018 bagi penjualan PROTON, yang mana membuktikan bahawa rakyat
Malaysia masih terus tertarik dengan kereta-kereta Proton dan ini merupakan hasil daripada pelbagai ciri yang telah direka
bentuk untuk setiap model. Pelbagai promosi menarik yang kami tawarkan, dengan GST yang berkadar sifar dan peningkatan
keseluruhan kualiti kereta kami juga membantu meningkatkan jualan, di mana kami harap dapat dikekalkan sehingga ke akhir
tahun 2018,” kata Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON Edar.

Skor kualiti yang semakin baik
Setelah memperoleh skor sebanyak 755 mata pada tahun 2017 dalam Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) oleh J.D Power,
PROTON memulakan inisiatif peningkatan kualiti bagi mencapai prestasi yang lebih baik pada 2018. Skor CSI diukur melalui
kaji selidik prestasi pengedar dalam lima perkara (mengikut kepentingan): kualiti servis (32%); inisiasi servis (22%);
pengambilan kenderaan (18%); penasihat servis (15%); dan kemudahan servis (13%) dan untuk meningkatkan skornya,
PROTON telah memulakan aktiviti untuk meningkatkan skor di setiap bidang.

Skor-skor terdahulu yang menggunakan sistem audit dalaman PROTON yang ketat telah menunjukkan peningkatan dalam
skor CSI. Melalui pelaksanaan sistem GCPA, kualiti kereta Proton telah bertambah 3 kali ganda dalam tempoh 8 bulan yang
lalu, diukur mengikut standard kualiti oleh VOLVO. Apabila digabungkan, kedua-dua aktiviti inisiatif CSI dan pelaksanaan
audit produk ini menyaksikan peningkatan dalam pengalaman pelanggan secara keseluruhan bersama jenama PROTON.

Sokongan terhadap Tabung Harapan Malaysia
Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, PROTON akan menyumbang sebanyak RM10 untuk setiap kereta yang dijual
bermula 1 Jun sehingga 31 Disember 2018. Justeru itu, selepas sebulan program ini dilaksanakan, sejumlah RM61,730 telah
berjaya diperoleh untuk Tabung Harapan Malaysia. Apabila melihatkan pada peningkatan jualan dan dengan pelancaran SUV
pertama Syarikat pada hujung tahun ini, Syarikat optimis mengenai jumlah sumbangan yang lebih banyak.

“PROTON berbangga kerana kami telah berjaya memperuntukkan lebih kurang RM61,000 untuk Tabung Harapan Malaysia
hanya dalam masa sebulan inisiatif sumbangan ini diumumkan. Syarikat memasang niat untuk menjual lebih banyak kereta
sepanjang tahun ini agar dapat memberi sumbangan sebanyak mungkin kepada dana ini yang akan memberi manfaat kepada
semua rakyat Malaysia,” jelas Rashid.

SUV baharu menerima galakkan daripada Tun Dr Mahathir
Meskipun SUV pertama PROTON akan dilancarkan dalam masa beberapa bulan lagi, gimik pelancaran yang dilakukan untuk
produk pertama yang dibangunkan bersama Geely pada baru-baru ini mendapat sambutan yang meriah. Perdana Menteri
Malaysia ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad di dalam pertemuannya dengan Pengerusi Zhejiang Geely Holding Group, Li Shufu,
telah memandu uji unit pra-pengeluaran pemanduan sebelah kanan pertama SUV berkenaan.

Merupakan seorang penggemar kereta, Tun menghabiskan hujung minggu berikutnya dengan memandu uji kereta tersebut
sekali lagi dan memberitahu pihak media bahawa kereta tersebut adalah baik dan beliau berasa kagum dengan kualitinya.
Beliau turut mengulas bahawa SUV ini akan menjadi produk yang baik untuk pasaran automotif Malaysia dan beliau mahukan
lebih banyak syarikat Malaysia terlibat dalam membekalkan komponen automotif.

Setelah memperoleh pandangan positif daripada Perdana Menteri, PROTON kini memperhebatkan lagi usaha publisiti bagi
SUV bersempena dengan pelancarannya pada hujung tahun ini.

“Kami gembira bahawa Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad mengiktiraf usaha kami ini dengan Geely. Ini
menunjukkan bahawa PROTON berada di landasan yang betul dan kini pra-pengeluaran SUV telah bermula, kami akan
memulakan pratonton kepada media dan pelanggan untuk membina momentum menjelang pelancaran yang sebenar,” kata
Rashid.

Proton-SUV-620x350

 

Previous post

Honda Malaysia Jalin Kerjasama dengan Kementerian Pengangkutan, JPJ

Next post

Nissan Serena S-Hybrid Serba Baharu Catat 4,000 Tempahan

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *