Cerita Auto

Ini Adalah Sedan Yang Anda Mahukan

Sudah lebih sebulan kita berada dalam tempoh cuti cukai di Malaysia dan keadaan nampaknya telah berubah. Sesetengah jenama popular kini tidak lagi boleh mengambil pesanan. Sesiapa yang teragak-agak dalam minggu pertama mungkin sudah terlepas peluang untuk mendapatkan kereta idaman mereka. Ini agak tidak adil kerana ramai rakyat Malaysia betul-betul memerlukan sebuah sedan yang praktikal, namun tidak mempunyai pilihan selain daripada menunggu sehingga cukai jualan dan perkhidmatan (SST) kembali.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Tetapi kami mempunyai jalan penyelesaian iaitu dengan meluaskan pandangan anda. Ya, anda mungkin mahukan kereta buatan Malaysia atau Jepun, namun masih terdapat banyak alternatif di luar sana dan salah satunya adalah kereta yang kami sempat uji pada awal tahun ini iaitu Elantra 2.0.

Hyundai Elantra review 21

Reka bentuk premium

Kami akui, reka bentuk Elantra bukanlah sesuatu yang luar biasa. Rasanya seperti Hyundai hanya memperelokkan reka bentuk dari model generasi sebelumnya, menjadikannya lebih kepada sebuah ‘evolusi’ daripada sebuah ‘revolusi’. Tetapi ia tetap menunjukkan kematangan dan cita rasa. Bahagian depan nampak kemas dan agresif dengan jeriji krom yang lebar manakala bentuknya direka berdasarkan bahasa rekaan Fluidic Sculpture 2.0, ditambah pula dengan rim bersaiz tepat. Bahagian dalaman dihiasi dengan faux-suede dan anda juga mendapat lampu nyalaan siang LED dengan lampu belakang LED dengan grafik yang sangat menarik.

Hyundai Elantra review 25

Pelbagai kemudahan yang sesuai

Memang sukar untuk membuat pembelian melainkan anda ditawarkan kelengkapan yang bersesuaian, seperti yang dilakukan oleh Hyundai dengan Elantra. Model ini mempunyai corong penyaman udara belakang, empat pemegang cawan, kemasukan tanpa kunci (keyless entry), butang penghidup enjin serta sistem infotainment 7 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto.

Hyundai Elantra review 28

Enjin yang moden dan terbukti

Terdapat pilihan enjin turbo bagi mereka yang mencari keseronokan tetapi bagi kami, varian 2.0 adalah pilihan yang lebih selamat kerana enjin dan transmisinya terbukti, boleh diharap dan cukup moden. Ia lebih ringkas dan tidak begitu terdedah tekanan berbanding enjin turbo dan transmisi klac berkembar yang terdapat pada Elantra Sport. Ia tidaklah begitu berkuasa namun 152 bhp dan 192 Nm sudah boleh dikira cukup untuk sebuah kenderaan yang beratnya kurang 1,300 kg. Malah, kami dapati sedan ini boleh memberikan keseronokan dari segi pemanduan. Suspensi torsion beam di belakang (CTBA) memberikan karakteristik pemanduan seperti suspensi bebas. Tahap redaman NVH kereta ini juga agak luar biasa, menjadikannya senyap dan lancar seperti sebuah kereta segmen D.

Hyundai Elantra review 23

Binaan berkualiti

Anda mungkin pernah melihat siri video ‘Sight & Sounds’ di akaun Instagram dan Facebook kami. Tahukah anda kereta apa yang memberikan kami inspirasi untuk memulakan siri video tersebut? Ya, Hyundai Elantra 2.0. Bagi kami, ia merupakan kali pertama kereta dengan harga sebegini terasa lebih berkualiti berbanding sesuatu yang dua kali ganda harganya. Dengan menonton video-video tersebut, anda mungkin tidak perlu lagi singgah ke bilik pameran.

Hyundai Elantra review 11

Jaminan dan pakej servis terbaik

Kajian terbaru J.D. Power menunjukkan bahawa Hyundai adalah antara yang terbaik dalam aspek kualiti dan ketahanan. Pakej sedia ada yang ditawarkan oleh Hyundai merangkumi jaminan pengeluar selama lima tahun atau 300,000 km serta pakej servis percuma selama tiga tahun atau 50,000 km. Bukan itu sahaja, jika anda cepat anda juga akan mendapat diskaun sebanyak RM10,000. Dengan GST pada kadar 0%, harga atas jalan tanpa insurans bagi model ini hanyalah RM99,800.

Hyundai Elantra review 24

Spesifikasi Hyundai Elantra 2.0L

Enjin: Nu empat silinder

Kapasiti: 1,999 cc

Kuasa: 152 bhp pada 6,200 rpm

Tork: 192 Nm pada 4,000 rpm

Transmisi: Automatik enam kelajuan

0-100 km/j: –

Kelajuan maksimum: –

Harga: RM99,800

hyundai-elantra-2.0LP1014484

Previous post

Selamat Tinggal Paip Ekor Ekzos

Next post

ABT Menyempurnakan Audi A7 3.0 TFSI Dengan Roda 22 Inci dan 425 HP

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *