Gaya Hidup

Barisan Pemandu Baharu Bersedia Untuk Vios Challenge Musim Ke-2

Majlis graduasi yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang kali ini sungguh berbeza suasananya. Tiada jubah atau topi graduan yang dipakai, sebaliknya kesemua lapan individu mengenakan sut lengkap perlumbaan ketika mereka diraikan selepas berjaya menamatkan latihan intensif Vios Challenge Racing School. Pentauliahan tersebut membolehkan mereka menyertai perlumbaan Vios Challenge di Toyota Gazoo Racing (TGR) Racing Festival musim kedua bermula Ogos.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Barisan “pelajar” tersebut merupakan enam orang selebriti muda iaitu Aiman Tino, Khai Bahar, Nabila Razali, Wany Hasrita, Akim Ahmad dan pelawak Nabil Ahmad yang akan bersaing di dalam kategori Promotional. Manakala dua orang lagi adalah remaja yang bakal membuat penampilan sulung mereka di dalam kategori Sporting.

Perlumbaan musim ini turut akan menyaksikan penampilan semula beberapa selebriti dari musim pertama iaitu Shawn Lee selaku juara bertahan kategori Promotional, disertai juga oleh Diana Danielle, Janna Nick dan Syukri Yahaya yang turut mengambil bahagian di dalam kursus persediaan pemanduan kali ini.

TGR Grad _ Hayden & Takeyama san

Prestasi terbaik yang ditunjukkan oleh Shawn Lee dan Syukri Yahaya pada musim lalu telah membolehkan mereka beralih untuk berlumba di dalam kategori Sporting pula pada musim kedua ini.

Perlumbaan Vios Challenge akan menjadi aktiviti utama bagi TGR Racing Festival yang dianjurkan oleh UMW Toyota Motor Sdn Bhd dan menampilkan 40 jentera lumba Vios yang sama untuk bersaing di dalam tiga kategori; Promotional, Sporting dan Super Sporting (bagi pelumba berpengalaman dan profesional).

TGR Grad _ Oscar & Takeyama san

Kategori Sporting kali ini menyaksikan penyertaan sulung dua pelumba berusia 14 tahun yang merupakan rakan sepersaingan dalam sukan go-kart sebelum ini, iaitu Mohamed Hayden Mohamad Haikal dan Oscar Ng Kok Tung.

Diuruskan oleh Wing Hin Motorsports di bawah seliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun, Vios Challenge Racing School memerlukan semua pemandu untuk mengikuti kursus dan latihan intensif selama enam hari. Ia merangkumi sehari bagi sesi teori berkaitan pemanduan defensif, teknologi kenderaan, sikap pemandu serta brek kecemasan dan teknik menghindari kemalangan.

TGR Grad 002

Pemandu-pemandu kemudiannya meluangkan masa selama lima hari berikutnya di Litar Antarabangsa Sepang di mana mereka diajar berkaitan prinsip perlumbaan, memahami peraturan litar, bagaimana untuk melakukan penukaran gear dengan cara yang betul termasuk teknik ‘heel and toe’, garisan perlumbaan serta bagaimana untuk masuk dan keluar daripada selekoh dan tidak lupa juga cara membrek dengan berkesan.

Semua jentera lumba Vios disediakan di bawah penyeliaan Toyota Racing Development (TRD) Jepun, dengan peraturan perlumbaan mematuhi piawaian yang telah ditetapkan oleh Fédération Internationale de l’Automobile (FIA) dan Persatuan Automobil Malaysia (AAM). Semua kereta dipasangkan dengan palang keselamatan penuh (roll cage), serta diberikan ubah suai untuk perlumbaan seperti aspek aerodinamik, sistem suspensi, ekzos, brek, klac, limited slip differential (LSD) dan tayar.

Janna

Disamping menonton aksi perlumbaan yang berlangsung di atas litar jalanan yang dibina khas di perkarangan stadium, TGR Racing Festival juga menyediakan pelbagai aktiviti lain untuk seisi keluarga kepada orang awam disamping turut memberi ruang kepada mereka untuk mendekati barisan kenderaan terbaru dari Toyota. Terdapat juga aktiviti lain seperti permainan pentas, promosi istimewa, cabutan bertuah dan Sesi Nyanyian Superfans sebagai memberi peluang kepada peminat untuk bertemu dengan pemandu-pemandu selebriti yang ada.

Pusingan pertama TGR Racing Festival Musim kedua ini akan bermula seawal jam 9 pagi pada hari Jumaat (3 Ogos 2018) hingga Sabtu (4 Ogos 2018) bertempat di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Masuk adalah percuma.

Dari Kuala Terengganu, TGR Racing Festival akan beralih lokasi ke MAEPS Serdang di Selangor pada 19-21 Oktober; Stadium Batu Kawan di Pulau Pinang (22-24 Februari 2019); serta aksi terakhir yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang pada 12-14 April 2019.

Previous post

Kenderaan 'M' BMW Akan Berelektrik Sepenuhnya

Next post

BMW Malaysia dan Regas Premium Sabah Buka Pusat 4S di Kota Kinabalu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *