Berita Auto

Kompaun RM300 Jika Tidak Tukar Beg Udara Bermasalah Takata

Tambahan kepada pengumuman bahawa Kementerian Pengangkutan mengarahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk tidak membenarkan pembaharuan cukai jalan kepada pemilik kenderaan yang masih belum menukar beg udara jenis Takata yang bermasalah Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata susulan itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan menghantar notis kepada setiap pemilik kenderaan terbabit supaya segera ke pusat servis syarikat pengeluar kenderaan masing-masing untuk menukar beg udara tersebut.

Beliau berkata kompaun RM300 boleh dikenakan kepada pemilik kenderaan yang gagal mematuhi arahan itu selepas notis amaran kedua diberikan, selain mengambil tindakan mahkamah jika mereka gagal melunaskan kompaun tersebut.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Tambah beliau “Kita bukan hendak memangsakan mana-mana pihak atau untuk menghukum, kita hanya mahu memastikan mereka menukar beg udara kenderaan demi keselamatan sendiri kerana ia mampu menyebabkan kematian.

“Penukaran beg udara ini adalah PERCUMA bagi semua jenama yang terlibat. Proses menukar beg udara juga hanya mengambil masa sekurang-kurangnya satu atau dua jam,” katanya pada sidang media selepas bertemu dengan wakil syarikat pengeluar kenderaan terbabit di sini semalam.

Sebanyak 358,233 kenderaan merangkumi jenama Toyota, Nissan, Honda, BMW, Mitsubishi, Subaru, Mazda dan Lexus belum lagi menukar beg udara Takata yang bermasalah.

Video ehsan FMT

JPJ juga akan menghantar notis pertama seawal minggu depan dan memberi tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan untuk ke pusat servis kenderaan atau menghubungi syarikat pengeluar mengenai urusan penukaran beg udara itu.

“Selepas tempoh itu, kita akan mendapatkan data daripada syarikat pengeluar mengenai mereka yang masih tidak memberi maklum balas.

“Jika selepas notis kedua dihantar masih tiada maklum balas (selepas 14 hari), kita boleh mengeluarkan saman kerana tidak mematuhi arahan JPJ,” tegas beliau.

Selain itu, pemilik kenderaan tidak boleh memperbaharui cukai jalan jika terus ingkar arahan JPJ.

Dalam pada itu, Loke berkata kementerian menetapkan tempoh setahun kepada semua syarikat pengeluar kenderaan terlibat untuk menukar beg udara itu kecuali syarikat Honda yang diberi masa sehingga akhir tahun ini memandangkan kemalangan nyawa melibatkan model Honda City adalah yang paling kerap berlaku.

“Berdasarkan data yang diperoleh, setakat ini sebanyak 262,296 atau 78.9 peratus daripada keseluruhan 332,458 kereta keluaran Honda telah menukar beg udara Takata yang merupakan peratusan tertinggi berbanding jenama lain, katanya.

Jenama Nissan pula mencatatkan pematuhan 40.49 peratus daripada keseluruhan 177,803 kenderaan terlibat, Toyota (38.11 peratus daripada 177,803), Mitsubishi (44.72 peratus daripada 36,155), Mazda (15.64 peratus daripada 10,982), BMW (3.98 peratus daripada 8,320), Subaru (6.23 peratus daripada 305) dan Lexus (59.41 peratus daripada 303).

— BERNAMA

01-Honda-Malaysia-Mobile-Hub-for-Takata-front-airbag-replacement-activities1-1024x576

Gambar salah satu kempen penukaran beg udara terlibat Honda September 2016 – March 2017

Previous post

Audi Q8 Tampil Gabungan Coupe dan SUV

Next post

Volkswagen Golf R 3-Pintu Dibuka Untuk Tempahan

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *