Berita Auto

Abarth 124 GT dan 695 Rivale Bakal Muncul di Geneva

Fiat bakal menampilkan dua model talaan Abarth di Geneva Motor Show 2018 pada bulan ini iaitu 124 GT dan 695 Rivale.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Berbeza dengan model Spider yang diperkenalkan pada 2015, 124 GT menampilkan bumbung ‘hardtop’ gentian karbon yang dipadankan dengan warna eksklusif Alpi Orientali Grey.

Menurut Fiat, bumbung seberat 16 kg itu menyumbang kepada ketegaran kilasan (torsional rigidity) keseluruhan kenderaan dan boleh dicabut dan dipasang dalam beberapa langkah mudah. Selain itu, rim aloi OZ Ultra-Light berukuran 17 inci yang dikatakan 3 kg lebih ringan berbanding rim standard turut diberikan.

fiat-abarth-124-gt (1)

Model ini menggunakan enjin turbo 1.4-liter empat silinder 170 hp dan 250 Nm yang membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dengan kelajuan maksimum 232 km/j. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan transmisi manual atau automatik enam kelajuan.

695 Rivale pula merupakan model edisi istimewa yang direka dengan kerjasama pembina kapal layar dari Itali iaitu Riva. Ia didatangkan dalam tema dua tona dengan warna Riva Sera Blue dan Shark Grey berserta kemasan krom satin pada pemegang pintu.

fiat-abarth-695-rivale

Menjengah ke bahagian dalam, model ini dihiasi seperti kapal layar mewah rekaan Riva dengan kemasan kayu mahoni dan maple, serta upholsteri kulit berwarna biru.

Sentuhan Abarth pula merangkumi rim aloi Supersport 17 inci, ekzos Akrapovic dengan corong gentian karbon, brek Brembo serta suspensi Koni dengan Frequency-Selective Damping (FSD).

fiat-abarth-695-rivale (1)

Di bawah hudnya pula terdapat enjin 1.4-liter yang menghamburkan 180 hp dan 250 Nm. Dengan nisbah berat-kuasa 5.8 kg bagi setiap kuasa kuda, 695 Rivale mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 225 km/h.

 

Previous post

Perodua Menceriakan Pesakit Dan Menyumbang Peralatan Perubatan Hospital Bersempena Tahun Baharu Cina

Next post

Mitsubishi Tawar Bonus Tunai Sehingga RM17,000 untuk Model Terpilih

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *