Cerita Auto

Proton Iriz Versi Diperhalusi Dilancarkan Secara Rasmi

Proton Iriz yang diperhalusi telah dikeluarkan secara rasmi hari ini. Model yang dipamerkan dan dibuka untuk tempahan di DRB-Hicom Autofest pada 19 Mei 2017 lalu kini boleh didapati di semua pusat pameran Proton di seluruh negara.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

“Apabila kami melancarkan model Persona pada Ogos 2016 dengan pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran serta penjimatan bahan api yang lebih baik, ramai yang bertanyakan kepada kami sekiranya ciri-ciri yang sama boleh digunakan pada model Iriz kerana kedua-dua Iriz dan Persona menggunakan platform yang sama dengan Iriz. Saya menjawab secara positif kerana kami sememangnya sedang melakukan penambahbaikan terhadap Iriz pada masa itu. Dan hari ini, kami telah menunaikan janji kami. Iriz kini dilengkapi dengan ciri-ciri yang diperhalusi dan ditambahbaik,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

Proton Iriz

“Penambahbaikan yang dilakukan pada Iriz termasuk pengurangan bunyi, getaran dan kekasaran yang lebih baik, kami juga telah menambah ciri Bantuan Pemanduan Eco serta penghalusan pada penentukuran ECU yang menyediakan tindak balas selari bagi pemanduan yang lebih baik. Varian 1.3L Executive juga menerima penambahbaikan dari segi butang penghidup enjin yang sebelum ini hanya dipasang dalam varian 1.6L. Kami juga membuat sedikit perbezaan dua tona warna pada bahagian luaran bagi varian 1.6L Premium di mana bumbung, spoiler dan cermin sisi berwarna hitam. Bagi bahagian dalam pula dilengkapi dengan jahitan merah pada stereng dan tempat duduk separa kulit menjadikan Iriz kelihatan lebih cantik, bergaya dan menonjol,” tambah Dato’ Fuaad lagi.

Proton Iriz

Walaupun terdapat penambahbaikan dan penghalusan dilakukan, ciri-ciri keselamatan standard seperti struktur Hot Press Forming (HPF) dikekalkan pada Iriz. Model ini juga mendapat penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP untuk semua varian, dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dengan Sistem Kawalan Tarikan, Bantuan Brek, Sistem Brek Anti-kunci (ABS), Bantuan Kawalan Cerun, Isofix dan ‘top tether’ serta enam beg udara untuk varian Premium.

Proton Iriz

Sejak pertama kali diperkenalkan ke pasaran pada September 2014, Proton telah menjual lebih 45,000 unit Iriz, menjadikannya kereta Proton kedua terlaris sejak dikeluarkan selepas Proton Saga. Iriz juga memenangi pelbagai anugerah seperti Compact Hatchback Car of the Year dan People’s Choice Award di NST Car of the Year 2014, Best Industrial Design 2015 oleh Intellectual Property Corporation, Most Affordable 5-Star ASEAN NCAP Car in Malaysia di ASEAN NCAP Grand Prix Award 2016 dan Budget Car Of The Year di 2016 ASEAN Car of The Year Awards.

Proton Iriz

Pelanggan boleh memandu uji dan menempah Iriz baru di semua cawangan Proton Edar serta siri jelajah di seluruh negara. Iriz baharu ini didatangkan dalam empat varian – 1.3L Standard (MT & CVT), 1.3L Executive CVT dan 1.6L Premium CVT, dengan harga dari RM43,800 hingga RM58,800. Ia boleh didapati dalam dua warna baharu, Ruby Red dan Carnelian Brown, selain dari warna sedia ada iaitu Graphite Grey, Atlantic Blue dan Cotton White.

Previous post

Mercedes-Benz Kukuhkan Komitmen Jadikan Malaysia Hab EEV

Next post

Apa Yang Boleh Diharapkan Dengan CR-V Baharu

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *