Berita Auto

MINI Countryman Serba Baharu Masuk Pasaran Malaysia

MINI Malaysia hari ini melancarkan kenderaan aktiviti sukan (SAV) MINI Countryman serba baharu. Ditawarkan dalam varian Cooper dan Cooper S, model generasi kedua itu merupakan model paling besar serta versatil dalam sejarah 57 tahun jenama itu.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Dari aspek reka bentuk, Countryman menampilkan tiga struktur utama pada bahagian sisi kenderaan yang terdiri daripada bumbung, bahagian kaca dan badan. Di samping unjuran yang pendek, arca roda kini tampil lebih lebar manakala kontur permukaan menghasilkan biasan cahaya dan bayang yang menyerlahkan rekaan atletik.

MINI Countryman

Berukuran panjang 4,299 mm, lebar 1,822 mm dan tinggi 1,557 mm serta jarak roda 2,670 mm, Countryman kini tampil 20 sentimeter lebih panjang dan tiga sentimeter lebih lebar berbanding model terdahulu. Manakala lebar treknya ialah 1,585 mm di hadapan dan 1,587 mm di belakang.

Karakter lasak kenderaan itu dijelaskan lagi dengan jarak kelegaan tanah dan posisi tempat duduk yang lebih tinggi serta bodykit MINI ALL4 yang merangkumi dapra hadapan dan belakang dengan kemasan hitam Piano Black dan “sump guard” berwarna perak. Dari segi pilihan rim, varian Cooper mendapat rim aloi 18 inci manakala Cooper S mendapat rim aloi ringan ‘MINI Yours’ bersaiz 19 inci.

MINI Countryman

Bahagian dalaman Countryman mengetengahkan konsep ruang luas dan ambien ekslusif. Antara kelengkapan yang tersedia termasuklah upholsteri hitam Firework Carbon dengan permukaan dalaman berwarna kelabu (Hazy Grey) dan stereng sport dibalut kulit untuk Cooper Countryman.

Cooper S Countryman pula menggunakan kemasan dalaman dikenali sebagai ‘MINI Yours Piano Black Illuminated’ yang membolehkan kokpit dinyalakan dengan apa jua pilihan warna yang disukai. Tidak ketinggalan, upholsteri kulit Cross Punch berwarna hitam Carbon Black dan stereng kulit John Cooper Works bersama “paddle shifter”.

MINI Countryman

Satu ciri baharu yang unik yang ditawarkan sebagai standard pada kedua-dua varian ialah pintu belakang automatik (automatic tailgate). Ia boleh dibuka melalui pergerakan kaki pada bahagian bawah bampar belakang, sekaligus memberikan kemudahan terutama apabila tangan anda penuh dengan barang.

Countryman juga menawarkan tempat duduk ‘Picnic Bench’ yang boleh dilipat keluar daripada ruang but. Ia membolehkan anda duduk dengan selesa di hujung ruang kargo kenderaan.

MINI Countryman

Sistem infotainmen kenderaan ini pula terdiri daripada ciri MINI Connected yang menawarkan integrasi telefon pintar melalui skrin berukuran 6.5 inci. Kedua-dua varian turut menampilkan kamera undur sebagai kelengkapan standard.

Sepert MINI hatchback terbaru, Countryman dikuasakan oleh enjin tiga dan empat slinder TwinPower generasi terkini BMW Group. Varian Cooper dijanakan oleh enjin 1.5-liter tiga silinder dengan kotak gear Steptronic enam kelajuan. Dengan 136 hp dan 220 Nm, ia mampu memectu dari 0 – 100 km/j dalam 9.6 saat dengan kelajuan maksimum 200 km/j.

MINI Countryman

Cooper S pula menampilkan enjin 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 192 hp dan 280 Nm. Dipadankan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 – 100 km/j dalam masa 7.4 saat dengan kelajuan maksimum 224 km/j. Kadar penjimatan bahan api berada pada tahap 6.0 liter bagi setiap 100 km bagi Cooper Countryman dan 6.5 liter bagi setiap 100 km bagi Cooper S Countryman.

Sifat pemanduan Countryman boleh dipilih berdasarkan tiga mod yang disediakan: Mid, Sport dan Green. Gunakan mod Green untuk pemanduan yang santai dan menjimatkan minyak, mod Sport untuk pecutan dan pengendalian yang lebih responsif atau Mid untuk merasai kedua-duanya.

MINI Countryman

Aspek perlindungan kereta ini merangkumi kerangka besi multi-fasa yang sangat tegar, cagak enjin yang boleh tertanggal untuk mengurangkan impak ketika kemalangan, serta ciri-ciri seperti Hill Hold Control dan Dynamic Stability Control.

Buat pertama kalinya, Countrymandiperkenalkan dalam dua warna baru iaitu coklat (Chestnut) dan biru (Island Blue). Warna lain yang ditawarkan ialah hijau (British Racing Green), merah (Chili Red), putih (Light White), perak (Melting Silver), hitam (Midnight Black) dan kelabu (Moonwalk Grey). Warna kelabu (Thunder Grey) pula eksklusif untuk Cooper S Countryman.

MINI Countryman

Countryman hadir bersama Jaminan Perbatuan Tanpa Had MINI selama 4 Tahun dan Servis Berjadual Percuma. Anggaran harga (di atas jalan untuk pendaftaran peribadi, tidak termasuk insurans) ialah RM239,888 untuk Cooper Countryman dan RM269,888 untuk Cooper S Countryman.

Orang ramai boleh memandu uji model terbaru ini pada hujung minggu ini, 15 dan 16 April di International Gallery di Alya Kuala Lumpur, Jalan Bukit Kiara – bersebelahan dengan TPC Kuala Lumpur (dulu dikenali sebagai KLGCC). Ia juga boleh didapati di semua pengedar sah MINI di seluruh negara pada hujung minggu yang sama.

MINI Countryman

 

 

 

Previous post

Jaguar F-Type Adakan Model Tahap Kemasukan Berenjin 296 bhp

Next post

Selamat Ulangtahun Yang Ke 90 Volvo Cars

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *