Berita Auto

BMW Rakan Automotif Rasmi Le Tour de Langkawi 2017

BMW Group Malaysia telah dilantik sebagai rakan automotif rasmi perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) Malaysia bagi tahun 2017.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Berucap pada majlis pengumuman tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif LTdL, Emir Abdul Jalal berkata, “Pertandingan Le Tour de Langkawi berada di kedudukan paling tinggi dalam kalendar perlumbaan Jelajah Asia dengan status UCI 2.HC. Ia sama seperti pertandingan yang diadakan di China dan Jepun seperti Tour of Qinghai Lake, Tour of Hainan dan Japan Cup.”

Menurut Emir lagi, LTdL juga berbesar hati kerana BMW Group Malaysia menjadi rakan automotif rasmi untuk edisi tahun 2017. Beliau juga berharap kerjasama baharu ini akan melonjakkan lagi prestij pertandingan tersebut pada tahun ini.

Bersetuju dengan Emir, Ketua Komunikasi Korporat BMW Group Malaysia, Sashi Ambi berkata, “Le Tour de Langkawi 2017 merupakan penyertaan pertama kami dalam acara pertandingan berbasikal paling berprestij di rantau ini. Kami di BMW Group Malaysia amat teruja dengan peluang ini. Kami juga berbesar hati untuk menjadi Penaja Jersi Putih untuk pertandingan kerana ia adalah anugerah buat Pelumba Terbaik Asia yang mengiktiraf bakat tempatan atau serantau dalam sukan ini.”

Jelas Ambi lagi, syarikat itu melihat aspek mengenal pasti, membangun dan menyokong bakat yang sedang meningkat naik sebagai satu ekspresi terbaik tetapi lebih dari itu, untuk menjadi sebahagian daripada kisah kejayaan bakat-bakat ini dan berkongsi kemenangan mereka dengan seluruh rakyat Malaysia, pada masa yang sama memberi inspirasi serta mencipta lebih ramai bakat merupakan satu hala tuju pengeluar kenderaan premium tersebut.

Kata-kata Ambi itu sebenarnya merujuk kepada penunggang kelahiran Terengganu, Muhamad Adiq Hussainie Othman yang akan kembali beraksi dalam Le Tour de Langkawi bermula 22 Februari hingga 1 Mac tahun ini. Ini merupakan penyertaan kali ke lapan berturut-turut Adiq dalam perlumbaan basikal berprestij tersebut. Kali ini, atlet berusia 26 tahun itu tampil untuk mempertahankan jersi putih yang dimenanginya dalam Kategori Pelumba Terbaik Asia tahun lalu. Adiq ialah pelumba Malaysia pertama yang menerima anugerah itu sejak ia dimulakan dalam edisi ketiga LTdL pada tahun 1998.

“Kesungguhan Adiq untuk mempertahankan jersi putih dan disokong oleh pasukannya, TSG menjadi salah satu tarikan utama pertandingan tahun lalu,” kata Emir. “Ramai rakyat Malaysia yang tersentuh dan mendapat inspirasi daripada prestasinya. Dengan ini, kami berbesar hati untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia boleh berjaya apabila bersaing dengan pelumba terbaik dari benua lain.”

Pada Le Tour de Langkawi 2017, para pelumba Asia berpeluang untuk mencabar pelumba-pelumba WorldTour dan Grand Tours yang berpengalaman dari ranking Pro Continental seperti China, Jepun, Korea, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand, Hong Kong, Kazakhstan dan semestinya Malaysia. Buat pertama kalinya juga dalam pertandingan ini, Thailand telah menyenaraikan sebuah pasukan benua iaitu Thailand Continental Cycling Team yang dianggotai oleh pelumba popular LTdL Malaysia, Loh Sea Keong yang telah menyertai pertandingan ini sebanyak sepuluh kali dan menjadi satu-satunya pelumba Malaysia yang pernah berlumba dengan pasukan WorldTour, Giant-Shimano pada tahun 2014.

Pasukan baru yang wajar diberi perhatian dalam pertandingan kali ini termasuklah Keyi Look Cycling Team dari China, Infinite AIS dari Singapura, Sapura Cycling Team dari Malaysia dan KFC dari Indonesia.

Sebagai rakan automotif rasmi, BMW Group Malaysia menyokong kejohanan itu menerusi rangkaian kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad yang akan digunakan oleh Marshall dan para pegawai, selain bertindak selaku penyedia pengangkutan khas untuk pasukan yang bertanding sepanjang perlumbaan ini.

Previous post

Prodrive Umum Bangunkan Renault Megane RX

Next post

Mercedes-Benz Buka Pusat 3S Kenderaan Komersial di Klang

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *