Cerita Auto

Pandu Uji: Proton Ertiga – MPV 6 Tempat Duduk Untuk Rakyat

Selepas Perdana, Persona dan Saga, Proton melengkapkan portfolio 2016 mereka dengan pelancaran Ertiga pada Disember lalu. Kemasukannya menandakan bermulanya saingan pengeluar kereta nasional itu dalam segmen MPV kompak yang terdiri daripada model-model seperti Perodua Alza, Toyota Avanza, dan Nissan Grand Livina.

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Seperti yang anda mungkin tahu, Ertiga merupakan MPV kompak mampu milik hasil usahasama antara Proton dan Suzuki Motor Corporation. Ia diasaskan dari Suzuki Ertiga yang dijual di Indonesia (juga dijual sebagai Mazda VX-1), India and Myanmar.

Proton Ertiga Review 03

Untuk pasaran Malaysia, Ertiga boleh didapati dalam tiga varian iaitu Executive (manual), Executive (automatik) dan Executive Plus (automatik), dengan harga bermula kurang dari RM60,000. Menarik, bukan?

Sangat menarik, memandangkan untuk harga yang sebegitu rendah anda sebenarnya mendapat sebuah kenderaan yang dibangunkan oleh pengeluar dari Jepun. Dari segi rekaan, tidak banyak perubahan yang dilakukan oleh Proton kecuali menambah kemasan serta logo di luar dan juga di dalam.

Proton Ertiga Review 12

Begitu juga dengan aspek teknikal. Enjin K14B 1.4 liter empat silinder dengan VVT dari Swift dikekalkan. Ia menghasilkan 92 PS pada 6,000 rpm dan 130 Nm pada 4,000 rpm, yang disalurkan ke gandar hadapan menerusi kotak gear manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Tiada CVT kali ini.

Kami bersama-sama wakil media lain berpeluang untuk memandu uji Ertiga baru-baru ini. Walaupun destinasi tidak begitu jauh (dari Shah Alam ke Kuala Selangor), jaraknya sudah cukup untuk kami merasakan kemampuan MPV tersebut sebagai sebuah kenderaan keluarga.

Proton Ertiga Review 36

Di lebuh raya, Ertiga mempamerkan karakteristik seperti yang diharapkan pada sebuah MPV. 92 PS bukanlah jumlah yang besar namun ia sudah memadai untuk memberikannya kuasa ketika memotong. Bukan itu sahaja, ia juga menjimatkan. Walaupun kadang-kala dipaksa bekerja keras, Ertiga versi manual yang dipandu berjaya mencatat penggunaan bahan api sekitar 25 km setiap liter.

Kami merasakan enjin yang dibekalkan lebih sesuai digabungkan dengan kotak gear manual berbanding automatik. Bukan sahaja lebih seronok, versi manual boleh memberikan kuasa pecutan serta merta dengan hanya menurunkan gear. Anda juga boleh memaanfatkan sepenuhnya kuasa yang ada pada enjin dengan menekan pendikit sehingga ke ‘redline’ sebelum menukar gear.

Proton Ertiga Review 19

Bagaimanapun, harus kami nyatakan yang pandu uji dilakukan dengan hanya dua penumpang (termasuk pemandu) sepanjang perjalanan. Tidak syak lagi dengan kabin yang sarat, ia akan mengambil masa yang lebih lama untuk mencapai kelajuan yang dikehendaki. Penggunaan bahan api juga akan meningkat.

Keselesaan di dalam kabin tetap terjaga walaupun dipandu laju. Bunyi angin dan enjin dikekalkan pada tahap minimum pada setiap masa, malah gegeran sama ada pada stereng atau tempat duduk juga tidak terasa. Sistem suspensinya (MacPherson di depan, ‘torsion beam’ di belakang) juga cukup menyenangkan – tidak keras dan tidak terlalu lembut.

Proton Ertiga Review 25

Selain daripada selesa, kabinnya juga lengkap dengan ciri-ciri kemudahan untuk seisi keluarga. Antara kelengkapan yang boleh didapati termasuklah penyaman udara belakang, dua soket 12V dan juga sambungan USB. Warna kuning air (beige) pula dipilih bagi mendatangkan rasa lega dan luas. Ia juga mempunyai pemegang cawan di depan dan di barisan ketiga, serta ruang penyimpanan terbina di belakang tempat duduk barisan ketiga.

Bercakap tentang keluasan, Ertiga mempunyai kabin yang cukup besar untuk memuatkan enam orang penumpang. Jarak roda sebesar 2,740 mm membolehkan Ertiga memuatkan tiga barisan tempat duduk, dengan baris kedua boleh dianjak ke depan atau belakang sebanyak 240 mm. Memasuki tempat duduk baris ketiga cukup mudah – anda hanya perlu melipat tempat duduk baris kedua dan menggelungsurkannya ke depan.

Proton Ertiga Review 33

Aspek keselamatan Ertiga pula terdiri dari ciri-ciri seperti dua beg udara, ABS, EBD, dan juga ISOFIX pada tempat duduk baris kedua. Walaupun tidak mempunyai Vehicle Stability Control (VSC), Ertiga masih layak untuk penarafan empat bintang dari ASEAN NCAP.

Dengan harga tidak melebihi RM65,000, Proton Ertiga mempunyai potensi untuk menarik minat pembeli yang inginkan kenderaan bersaiz sedikit besar dengan bajet yang kecil. Prestasi enjinnya mungkin bergantung kepada bilangan penumpang, tetapi praktikaliti dan kemudahan yang tersedia di dalam kabin tidak dapat dipertikaikan lagi.

Proton Ertiga Review 28

Mampukah ia menjadi MPV kegemaran rakyat Malaysia? Masih terlalu awal untuk dikatakan. namun dengan jumlah tempahan mencecah 1,400 unit selepas sebulan ia dilancarkan, Ertiga mempunyai potensi untuk menjadi pemangkin prestasi jualan Proton.

Proton Ertiga Review 29

Spesifikasi Proton Ertiga
Enjin: empat silinder, DOHC VVT
Kapasiti: 1,373 cc
Kuasa: 92 PS @ 6,000 rpm
Tork: 130 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: automatik empat kelajuan/manual lima kelajuan
0-100 km/j: – 11.8 ssat
Kelajuan maksimum: – 155 km/j
Harga: RM58,800 – RM64,800

 

Previous post

Kia Siar Gambar-Gambar Awal Picanto Baharu Mereka

Next post

Kawasaki Lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *