Gaya Hidup

Kumpulan BMW Malaysia dan GreenTech Malaysia Perkukuh Perkongsian di IGEM 2016

Kumpulan BMW Malaysia dan Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia) hari ini dengan rasminya memeterai perkongsian mereka untuk menawarkan akses kepada perkhidmatan mobiliti ChargeNow menerusi platform ChargEV bagi para pelanggan kenderaan hybrid ‘plug-in’ baru dari pengeluar kenderaan premium tersebut di negara ini.

 

Sebagai sebahagian daripada program ELEKTRIK 360° BMW, pembeli BMW i8, BMW 330e dan BMW X5 xDrive40e yang serba baru ditawarkan perkhidmatan ChargeNow BMW baru, iaitu perkhidmatan mobiliti mudah yang membolehkan pengecasan harian dilakukan di mana sahaja untuk memudahkan pemilikan kenderaan BMW i atau BMW Hybrid dengan Teknologi eDrive. Dengan menggunakan kad ChargeNow yang juga memberikan akses secara langsung kepada stesen pengecasan rakan kongsi seperti ChargEV, pelanggan dapat menikmati sokongan 24/7 dan akses kepada lebih 95 lokasi pengecasan yang dibuka untuk orang ramai yang terdapat dalam jaringan ChargEV yang semakin berkembang.

 

Semasa majlis menandatangani perjanjian di Persidangan & Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau & Produk Eko Malaysia (IGEM) yang ke-7, En. Sashi Ambi, Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BMW Malaysia berkata, “Dalam tahun lepas, kami di BMW telah memperkenalkan tiga kenderaan Hybrid serba baru dengan Teknologi eDrive di negara ini – BMW i8, BMW X5 xDrive 40e dan BMW 330e. Langkah ini menunjukkan pemahaman yang baru tentang kenderaan premium yang ditakrifkan oleh kemampanan. Strategi penting bagi menggerakkan negara ke arah kemampanan mobiliti dalam persekitaran bandar ialah dengan menawarkan perkhidmatan mobiliti yang akan menjadikan pemanduan elektrik pengalaman harian yang selesa dan menyeronokkan.”

BHP-Harmony-in-Performance_DSF_Banner-Malay_650x85_201606101

Beliau menambah bahawa perkongsian progresif dengan ChargeNow BMW dan platform ChargEV GreenTech Malaysia adalah satu strategi seumpamanya untuk mewujudkan dimensi baru dan pengalaman pemanduan yang menyeronokkan (Sheer Driving Pleasure) dan pemilikan kenderaan dalam segmen premium.

 

“Adalah sangat penting bagi kita untuk memastikan adanya infrastruktur yang diperlukan untuk menyokong teknologi baru ini kerana ia juga akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap kedayahidupan kenderaan elektrik dan hybrid ‘plug-in’. Sehingga hari ini, permintaan bagi kedua-dua BMW X5 xDrive40e dan BMW 330e terus meningkat. Kami telah memulakan penghantaran kedua-dua kenderaan kepada pelanggan kami; kini terdapat senarai tunggu bagi BMW X5 xDrive40e sehingga suku kedua (Q2) 2017 manakala jumlah tempahan bagi BMW 330e masih terus meningkat dengan baik. Kami yakin bahawa perkembangan kenderaan ini akan terus positif,” kata Ambi.

 

Dengan teknologi eDrive BMW yang canggih dan perkhidmatan mobiliti ChargeNow, stesen pengecasan dapat digunakan dengan cepat dan selesa. Terdapat beberapa cara untuk mencari stesen pengecasan awam yang mengambil bahagian dengan ChargeNow. Cara pertama ialah dengan memuat turun aplikasi My BMW Remote untuk pelanggan eDrive BMW atau aplikasi BMW i Remote untuk pelanggan BMW i bagi mengesan stesen pengecasan awam, menyemak ketersediaannya, dan menghantar lokasi mereka secara terus kepada kenderaan. Pemilik juga boleh menggunakan sistem navigasi dalam kenderaan melalui perkhidmatan BMW ConnectedDrive untuk mencari stesen awam dari kenderaan BMW eDrive atau BMW i mereka. Selain itu, pelanggan juga boleh mengesan stesen dengan menggunakan peta atas talian ChargEV, yang memaparkan lokasi semua stesen ChargEV.

 

Sebaik sahaja tiba di stesen pengecasan awam, sentuhkan kad ChargeNow pada simbol alat pembaca, tekan butang pemegang untuk menanggalkan penyambung cas, dan masukkan palam. Sebaik sahaja cas penuh, sentuhkan sahaja kad ChargeNow untuk menamatkan sesi sebelum menanggalkan palam dan mengembalikan penyambung ke stesennya.

 

GreenTech Malaysia menyasarkan untuk memasang 300 stesen ChargEV tahun ini dan akan meneruskan sasarannya untuk mencapai 25,000 stesen ChargEV menjelang 2020 dalam menyokong sasaran Malaysia untuk menyediakan 100,000 EV dalam tempoh lima tahun akan datang. Dengan peranan ChargEV yang penting dalam menggalakkan pengunaan EV, Kumpulan BMW Malaysia juga percaya bahawa kesedaran dan pendidikan di kalangan pengguna adalah bahagian yang seterusnya dalam persamaan inisiatif elektromobiliti di negara ini.

 

Alami dan ketahui dengan lebih lanjut lagi tentang program ELEKTRIK 360° BMW pada hari terakhir IGEM, 8 Oktober 2016 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. Kumpulan BMW Malaysia akan berkongsi kepakarannya mengenai program tersebut, mempamerkan perkembangan projek ChargeNow BMW dengan platform ChargEV Greentech Malaysia, di samping mempamerkan kenderaan BMW Hybrid serba baru dengan Teknologi eDrive – BMW X5 xDrive 40e dan BMW 330e serta kereta sport premium yang paling progresif, BMW i8.

Previous post

BMW di Persidangan & Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau & Produk Eko Malaysia yang ke-7

Next post

Honda Malaysia Buka Pusat 3S Terbesar Di Terengganu

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *