Berita Auto

Ford Everest: Direka Dan Dibina Untuk Menguasai Laluan Ekstrem

SUV premium tujuh tempat duduk, Ford Everest serba baharu nyata menonjol berbanding yang lain menerusi pelbagai teknologi terkini, sistem keselamatan ekstensif dan rekaan menarik. Everest serba baharu dibangunkan untuk meneroka persekitaran paling ekstrem di dunia dengan mudah. Pada masa yang sama membolehkan anda dan penumpang menikmati perjalanan luar biasa dengan yakin.

Terrain Management System (TMS)

New Ford Everest 5_TMS switch

Dengan menggunakan ciri Terrain Management System (TMS), pemandu boleh mengubah suai karekter kenderaan secara dramatik bagi menawarkan kualiti pengendalian maksimum di laluan yang mencabar. Sama seperti mempunyai seorang pemandu pakar laluan off-road yang ada apabila diperlukan, TMS membantu anda untuk terus mengawal kenderaan melalui sistem pacuan empat roda pintar. Sekali gus dapat menawarkan pengalaman pemanduan yang pintar, selamat dan menyeronokkan di atas jalan biasa atau off-road. TMS menawarkan kawalan optimum, walaupun di permukaan off-road yang paling mencabar dengan empat tetapan laluan pintar: normal, salji/berbatu/rumput (snow/gravel/grass), pasir (sand) dan batu (rock). Daripada meneroka gumuk pasir hingga jalan berais, TMS akan membantu pemandu kekal berada dalam kawalan sepanjang masa.

Mode normal ditala untuk pengalaman terbaik memandu di atas jalan raya biasa. Ia menghantar kuasa tork ke roda hadapan apabila perlu bagi meminimumkan potensi tayar tergelincir. Satu mode yang memang ideal ketika berada di lebuh raya. Mode salji/berbatu/rumput pada Everest pula mengekalkan cengkaman di atas permukaan jalan yang licin atau lembut. Kedudukan gear dinaikkan lebih cepat dan gear rendah dilambatkan untuk mengurangkan RPM. Selain mengurangkan sensitiviti pedal minyak bagi meningkatkan lagi tahap kawalan. Hasilnya, ia mampu menawarkan pergerakan pendikit yang lebih lancar, selain kawalan cengkaman lebih stabil berbanding mode normal. Mode ini juga boleh digunakan dalam kondisi jalan berlumpur.

Untuk laluan lumpur tebal atau jalan berbukit yang curam, pacuan 4×4 rendah yang digabungkan dengan mode normal mungkin boleh menawarkan prestasi terbaik. Mode pasir pula membantu pemandu mengekalkan momentum ketika memandu di jalan berpasir. Ia menyediakan agihan kuasa tork yang agresif dan pendikit menjadi lebih sensitif. Manakala mode batu berfungsi dengan pacuan empat roda rendah untuk memberikan cengkaman maksimum dan kawalan kelajuan rendah yang tepat, bagi membantu anda menempuh laluan off-road yang ekstrem.

Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS) – Cara yang lebih pintar untuk menukar haluan

New Ford Everest_Interior2

Demi menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan, Ford Everest menggunakan sistem Stereng Bantuan Kuasa Elektrik (EPAS). EPAS mengubah suai tahap bantuan stereng berdasarkan kepada kelajuan kenderaan, sudut stereng, tenaga ketika membelok dan pecutan. Sistem pintar ini menawarkan stereng yang lebih tepat dan rasa semula jadi serta meyakinkan. Pada masa yang sama mengurangkan penggunaan bahan api dan meningkatkan kelancaran dengan tidak lagi menggunakan pam stereng kuasa yang dipacu oleh tali sawat. Ini memberikan Everest rasa stereng yang ringan pada kelajuan rendah seperti hendak memarkir kenderaan. Stereng kemudian berasa lebih berat dan tepat apabila kenderaan bergerak pada kelajuan tinggi. Sebagai tambahan, sistem EPAS juga membolehkan  sejumlah teknologi pintar seperti Lane Keeping Aid, Active Park Assist, Pull Drift Compensation dan Active Nibble Control diaplikasikan. Di samping membuatkan kenderaan ini lebih efisien.

Ciri Active Park Assist menghilangkan tekanan ketika hendak memarkir di ruang selari. Ia membantu kenderaan parkir secara automatik dan memberikan pengalaman yang mudah kepada pemandu. Sebaik sahaja diaktifkan, Active Park Assist akan mengimbas ruang parkir yang sesuai. Ketika parkir, pemandu hanya perlu mengoperasikan pedal minyak, brek dan kedudukan gear. Manakala sistem ini akan mengambil alih stereng.

Memastikan Anda Tidak Tersasar

New-Ford-Everest_Bridge-620x350

Ciri Lane Keeping Aid membantu pemandu kembali ke laluan yang betul sekiranya kenderaan dikesan terkeluar dari garis jalan. Situasi ini dikesan menggunakan kamera pada bahagian hadapan, bagi memastikan pemandu kekal selamat. Sistem EPAS diaktif untuk memberikan kuasa tork yang lancar dan membawa kenderaan kembali ke laluan yang betul. Ciri ini tidak akan diaktifkan apabila lampu isyarat membelok digunakan, terutama jika ia mengesan penukaran haluan yang pantas atau pemandu memecut laju. Sebagai alternatif, ciri ini boleh dinyahaktif secara manual oleh pemandu.

Satu lagi ciri pintar yang berfungsi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang ialah Pull Drift Compensation. Ciri ini membantu kenderaan berada di atas jalan raya dengan selamat ketika menempuh angin yang laju atau melalui laluan curam. Ketika bergerak pada kelajuan melebih 40km/j, sistem EPAS boleh mengesan apabila pemandu terpaksa melalui kondisi jalan yang teruk. Ia kemudian akan mengurangkan kuasa memusing stereng oleh pemandu, sekali gus mengurangkan rasa penat. Sistem EPAS menggantikan pam hidraulik pada stereng kuasa tradisional dengan motor elektrik yang lebih ringan. Ia bukan sahaja mengurangkan berat kenderaan, malah kabin juga lebih senyap untuk pemanduan yang lancar. Untuk meningkatkan keselesaan pemandu, ciri Active Nibble Control pada Everest menghilangkan getaran yang tidak diperlukan pada stereng.

Dengan begitu banyak alat pengesan dan teknologi bantuan pemandu yang canggih, Ford Everest serba baharu juga menawarkan keupayaan mengharung air dan tahap kelegaan tanah yang terbaik dalam kelasnya – kemampuan mengharung air sehingga 800mm dan kelegaan tanah mencecah 225mm.

New Ford Everest_Water

Ditawarkan pada harga bermula RM198,888 di atas jalan tidak termasuk insurans dan Semananjung Malaysia dan RM201,888 di Malaysia Timur, Everest serba baharu didatangkan dalam empat warna: merah (Sunset Metallic), putih (Cool White), hitam (Black Mica Metallic) dan perak (Aluminum Metallic).

Previous post

Dennis Lind Bolot Kemenangan Di Paul Ricard

Next post

Perodua Sumbang RM10,000 Kepada 2 Buah Institusi Pendidikan Islam

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *