Gaya Hidup

Ford Ranger Mempersembahkan: Built Ford Tough. Kekal Tenang Di Bawah Tekanan. 

Panas, lembab, laluan sukar dan mengangkut beban berat serta menunda selama 24 jam: resepi kepada ujian ekstrem ke atas keupayaan sebenar Ford Ranger.

Dalam eksperimen terakhir untuk Built Ford Tough – satu siri dokumentari dalam talian Ford – sepasukan jurutera Ford menguji Ranger selama 24 jam tanpa henti di laluan hutan yang sukar untuk mencabar setiap aspek ketahanan Ranger.

“Kami mereka bentuk ujian ini untuk meniru persekitaran dunia sebenar yang sangat dinamik dan menawarkan sejumlah cabaran unik pada setiap pusingan,” kata jurutera Ford, Vince Gower yang memantau ujian dan pembangunan Ranger di tapak ujian Ford di Australia. “Setiap peringkat ujian menunjukkan penggunaan kenderaan dalam dunia sebenar yang berbeza. Kami mahu melihat bagaimana Ranger benar-benar bersedia untuk berdepan dengan apa sahaja.”

Laluan hutan yang mencabar sejauh 6.5 kilometer itu merangkumi cerun curam, lubang dan akar kayu yang tidak disangka. Di samping laluan yang sentiasa berubah seperti lumpur, kawasan berbatu dan berlumut yang licin. Semua ini memerlukan Ranger untuk mengharung kondisi yang sentiasa berubah. Pada masa sama, pasukan jurutera meningkatkan cabaran ke atas trak, dengan lokasi berhenti yang strategik untuk menukar pemandu, mengisi minyak dan menambah beban.

Ranger melalui pusingan pertama tanpa sebarang beban, membolehkannya bergerak pada kelajuan lebih tinggi. Pasukan jurutera itu kemudian mula meletakkan beban pada ruang kargo dan akhirnya menambah satu trailer serta berat tambahan. Pada penghujung ujian, enjin diesel Duratorq telah membawa beban seberat 1,000kg di atas ruang kargo. Ia juga menunda beban seberat 2,700kg dan menaiki laluan curam sehingga 20% dalam suhu sekitar 40 darjah selsius.

Ranger-Sabah-7-620x350

“Cuaca panas dan lembab pada hari ini menambah lagi elemen tekanan,” kata Gower. “Pasukan jurutera Ford mereka sistem penyejukan enjin untuk menangani kondisi yang sukar. Tetapi kondisi ekstrem dalam ujian pada hari ini benar-benar menguji sistem tersebut.”

Reka bentuk hadapan Ranger baharu yang lebih segar bermakna pasukan jurutera sistem thermal dan aerodinamik Ford perlu mengubah sepenuhnya bagaimana kenderaan ini menguruskan aliran udara pada bahagian hadapan demi memastikan komponen-komponen kritikal kekal sejuk. Analisis komputer ke atas cecair dinamik yang ekstensif telah dialankan untuk memastikan jumlah udara yang betul dapat dibekalkan ke pek penyejukan – melibatkan penyejuk udara, pemampat dan radiator.

Unit pemesong udara yang menyalurkan udara ke pek penyejukan telah direka semula dengan teliti demi memenuhi keperluan sistem pendingin hawa, prestasi dan suhu enjin. Profail unik telah ditambah pada gril dan permukaan pemesong udara untuk menyalurkan udara dari bahagian hadapan kenderaan ke pek penyejukan secekap yang mungkin. Selain daripada aliran udara semula jadi, satu kipas yang digerakkan secara mekanikal turut membantu mengeluarkan udara daripada sistem penukar haba untuk memberikan aspek penyejukan lebih efektif ketika kenderaan bergerak perlahan.

Transmisi pintar Ranger membantu menguruskan suhu enjin sepanjang proses menunda dan mengangkut beban yang ekstrem. Modul kawalan transmisi membantu menyeimbangkan suhu dengan mengawal kunci torque converter dan pemilihan gear apabila ia mengesan trak sedang menunda beban yang berat. Modul itu menambah baik aspek pemanduan dan penjimatan bahan api kenderaan. Ia juga mampu mengawal suhu apabila perlu.

Pasukan jurutera Ford menguji transmisi dalam satu ujian ekstensif untuk memastikan ia dapat mengangkut beban berat, pada masa yang sama suhu rendah dapat dikekalkan. Selain menawarkan prestasi lancar sebagaimana yang diharapkan oleh para pelanggan. Suhu transmisi juga dilaras oleh cecair penyejuk transmisi yang digunakan untuk menyalurkan haba  minyak transmisi ke dalam sistem penyejukan.

“Eksperimen Built Ford Tough direka untuk menguji melampaui apa yang dimahukan oleh pemandu Ranger. Jadi, trak boleh beraksi tanpa mengira apa jua cabaran yang kami lontarkan padanya,” kata Gower. “Melihat Ranger bergerak selama 24 jam tanpa henti di laluan yang sangat sukar ini tanpa sebarang masalah, jelas menunjukkan bahawa Ranger direka dan dihasilkan untuk membantu para pelanggan menghadapi apa jua cabaran.”

Previous post

UD Trucks Lancar Trak Quester 8L

Next post

Bosch Lancar Kempen ‘Satu Bahagian Rosak Mampu Memusnahkan Segalanya’ di Malaysia

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *