Berita Auto

PROTON Menghantar Kumpulan Pertama Kereta-kereta Ke Chile

PROTON Holdings Berhad (“PROTON” atau “Syarikat”) kini memasuki semula pasaran Chile selepas penjualan kereta terakhirnya di situ iaitu Proton Wira pada tahun 1998. Sebanyak 50 unit Proton Prevé dengan pemanduan di sebelah kiri (Left Hand Drive, LHD) akan tiba di San Antonio, Chile sebagai penghantaran kumpulan kereta Proton pertama daripada sejumlah 1,000 unit kereta yang akan dijual di negara itu pada tahun ini.

Photo 1 (2)

Kereta-kereta Proton akan dijual oleh Andes Motor, anak syarikat kepada Kumpulan Kaufmann, wakil pengedar daripada Chile yang telah menandatangi perjanjian pengedaran bersama PROTON pada 1 Julai 2015 yang lalu.

“Kami merancang untuk memasuki semula pasaran Chile selepas Perjanjian Bebas Perdagangan (Free Trade Agreement, FTA) Malaysia-Chile ditandatangani pada 25 Februari 2012. PROTON ditawarkan pengecualian 6% duti import dan kami amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia bagi inisiatif perdagangan ini. Pengecualian ini membuka peluang kepada kami untuk mengenalpasti pasaran yang sesuai bagi pemanduan di sebelah kiri (LHD) untuk kereta-kereta keluaran kami,” kata Dato Abdul Harith Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif PROTON.

Selain daripada Prevé, Exora dan Saga juga merupakan antara model-model yang akan dipasarkan di sekitar bandar-bandar utama seperti di Santiago, Concepcion Vina La Serena, Antofagasta dan Valdivia Temuco Osorno.

PROTON NEW LOGO

“Kami berasa amat teruja untuk memasuki pasaran Chile kerana sebelum ini Syarikat telah berjaya menjual hampir 3,000 unit kereta dari tahun 1994 sehinggalah tahun 1998. Kini, kami mempunyai rakan kongsi baru yang merupakan sebuah pengedar utama bagi pelbagai kenderaan jenis bas, lori dan kereta mewah dengan rangkaian pasaran yang luas untuk menyediakan dan menguruskan jualan dan perkhidmatan selepas jualan. PROTON merupakan jenama kereta pertama yang mereka akan pasarkan di pasaran massa, dengan jumlah penduduk Chile sebanyak 17.6 juta dan pasaran industri keseluruhan berjumlah kira-kira 330,000 kereta. Ini merupakan antara peluang keemasan bagi PROTON untuk meningkatkan pengeluaran kereta, meluaskan penjualan dan mengembangkan kewujudan PROTON di pasaran,” tambah Dato’ Harith.

“Oleh kerana tahun ini merupakan tahun yang penting bagi PROTON, kami yakin bahawa langkah ini adalah permulaan bagi Syarikat untuk memasuki pasaran global, lebih-lebih lagi apabila kita berjaya melengkapkan program enjin Proton terbaharu yang akan digunapakai bersesuaian mengikut standard dan peraturan-peraturan ketat negara-negara Eropah. Kami akan terus membangunkan kereta-kereta yang berkualiti dan melakukan penambahbaikan berterusan bagi produk-produk keluaran Syarikat agar kita tidak hanya berjaya di pasaran negara sendiri malah meningkatkan penerimaan di peringkat antarabangsa juga,” tambahnya lagi.

Photo 2 (4)

Pelancaran bagi penjualan Prevé dan Exora di Chile merupakan sasaran utama syarikat bagi Mei 2016 diikuti dengan penjualan Saga pada November 2016. Selain itu, model-model yang turut akan memasuki pasaran Chile adalah Prevé 1.6 Standard MT, Prevé 1.6 Executive MT dan Prevé 1.6 Premium CVT. Manakala, bagi model Exora pula adalah 1.6 Standard CVT dan Exora 1.6 Premium CVT. Pada November 2016, Saga FLX 1.6 Standard MT dan Saga FLX 1.6 Premium MT akan mula memasuki pasaran pertamanya di Chile.

 

Previous post

Ini Dia Prototaip Honda Civic Hatchback Gen Kesepuluh

Next post

Subaru Forester Kini Dipasang Di Malaysia. Harga Akan Umum Di Pelancaran Pasaran Nanti

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *